Masih kekal jelita dengan tubuh badan menawan, pelakon Rozita Che Wan mengaku tidak mempunyai rahsia tersembunyi.
Walaupun bergelar ibu kepada tiga anak, pelakon yang memasuki usia 50 tahun masih kekal ramping dan cantik.
Namun ada satu yang dikongsikan pelakon yang mesra dipanggil Che Ta, rupanya dia tidak pernah menukar saiz baju sejak 20 tahun lalu lapor mStar.
“Saya sebenarnya tiada rahsia kecantikan pun. Saya hanya mengawal berat badan tetapi bukan dengan timbangan sebaliknya melalui ukuran baju.
“Selama hampir 20 tahun saya menggayakan baju rekaan pereka, tidak pernah bertukar ukuran hanya satu saiz sahaja.
“Ukuran itu tidak pernah bertukar. Bila baju-baju saya ketat, saya tahu berat badan saya sudah bertambah.
“Kalau saya boleh pakai muat-muat, saya ‘maintain’ sahaja,” katanya seperti dipetik mStar.
Jelasnya apa yang penting dalam mengekalkan tubuh sihat adalah disiplin dan mengenali tubuh sebelum melaksanakan apa-apa diet.
“Saya tidak menjaga makan. Saya hanya menerapkan disiplin dalam diri. Bagi saya kalau anda nak kurus, anda perlu kenali tubuh badan sendiri.
“Ada juga yang mengadu dengan saya cakap setiap kali dia makan nasi, berat badannya akan naik. Jadi solusi saya berikan, janganlah makan nasi.
“Macam saya sendiri, saya boleh makan nasi dua kali sehari. Tapi saya tak boleh makan sampai satu hari enam kali. Itu akan membuatkan berat badan saya naik,” ujarnya.
Tambahnya, berat badannya naik paling ketara saat mengandungkan anak ketiganya Aisyah Dhia Rana, 11 tahun lalu, iaitu 90 kilogram.
Bukan tidak pernah naik berat badan, ada masa Che Ta terpaksa mengamalkan diet selama seminggu selepas baju yang dikenakannya ketat.
Bagi Che Ta juga definisi cantik itu terlalu luas dan tak perlu mengikut standard kecantikan hingga bahayakan nyawa sendiri.