Seorang pengguna bank di Malaysia terkejut apabila mendapati akaun banknya tiba-tiba menunjukkan baki simpanan melebihi RM400 juta
Kejadian luar biasa itu dikongsikan oleh pengarah dan Pengasas bersama Forum HR Malaysia, Hafidzah Abdullah melalui LinkedIn.
Berdasarkan satu tangkap layar yang menjadi tular, baki yang dinyatakan dalam akaun banknya adalah berjumlah RM404,040,404. 40.
Walau bagaimanapun, Hafidzah berkata adalah mustahil untuk beliau menjadi seorang jutawan dalam sekelip mata.
‘Durian runtuh’ berupa RM400 juta yang hadir dalam akaun bank itu sebenarnya mendatangkan lebih banyak masalah kepada Hafidzah.
Menurut Hafidzah, akaun banknya disekat dan beliau tidak dimaklumkan sebelum tindakan itu diambil. Susulan itu, beliau terpaksa menempuh pelbagai proses untuk mendapatkan semula akaunnya.
“Saya menghargai pengalaman anda (merujuk bank tersebut) berikan sebagai satu momen yang sukar untuk dilupakan, tetapi saya rasa masalah ini agak keterlaluan.
“Anda fikir saya dapat loteri, bukan? Tidak sebenarnya, ia merupakan glitch (gangguan),” katanya.
Realiti ‘durian runtuh’ tidak seindah seperti disangka
Tambah wanita itu, beliau terpaksa pergi ke cawangan bank tersebut yang berdekatan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Katanya lagi, beliau terpaksa berdepan dengan kesulitan selama tiga hari sebelum masalah tersebut dapat diselesaikan.
Malah, beliau juga menganggap kejadian tersebut yang berlaku ketika hari gaji sebagai satu situasi yang tidak kelakar.
Susulan perkongsian tersebut, salah seorang wakil daripada bank berkenaan kemudian meninggalkan komen pada perkongsian Hafidzah dan berjanji untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Dalam pada itu, menurut Sinar Harian, bank berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan masalah berkenaan sudah pun berjaya diselesaikan.