Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan kandungan surat tular yang mengatakan
Bahawa ada projek pembinaan tiga hospital baru yang akan diberikan kepada syarikat kontraktor ‘terpilih’.
Beliau menyatakan bahawa selepas menyelidik surat tular yang tersebar di media sosial, beliau mendapati bahawa projek hospital baru tersebut tidak pernah wujud sama sekali.
Menurut beliau, surat tersebut tidak mengandungi sebarang arahan atau kelulusan yang menyatakan bahawa syarikat kontraktor yang disebutkan patut dilantik untuk melaksanakan projek yang dikatakan.
“KKM mengesahkan bahawa pejabat saya telah menerima satu surat tular mengenai cadangan kontraktor bagi kerja-kerja
membina hospital pakar yang ditandatangani oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri dan dihantar kepada Setiausaha Politik saya.
“Surat tersebut saya tegaskan, tidak mengandungi sebarang arahan atau kelulusan untuk melantik syarikat tersebut untuk menjalankan projek yang disebutkan,” katanya.
Projek pembinaan tiga hospital yang disebutkan ialah Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor; Hospital Jelebu, Negeri Sembilan; dan Hospital Kuala Lipis, Pahang yang telah lama wujud dan beroperasi.
Namun, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa pada masa ini, KKM tidak mempunyai sebarang perancangan dalam masa terdekat untuk membina hospital baru sebagai pengganti kepada ketiga-tiga hospital tersebut.
“Oleh itu, projek yang disebutkan dalam surat tular tersebut sebenarnya tidak pernah mendapat kelulusan peruntukan dari kerajaan.
“Oleh itu, permohonan dari syarikat tersebut tidak akan dipertimbangkan kerana projek tersebut tidak wujud dan tiada tindakan susulan akan diambil oleh KKM,” katanya.
https://youtu.be/X60gPlTide0?t=2054
Beliau menambah bahawa Pejabat Perdana Menteri telah menyerahkan kepada KKM untuk menyiasat permohonan tersebut dan membuat keputusan mengenai tindakan yang perlu diambil.
“Langkah ini membuktikan bahawa Pejabat Perdana Menteri tidak campur tangan dalam urusan perolehan projek KKM dan kementerian lain, sejajar dengan garis panduan pengendalian sokongan oleh ahli pentadbiran dalam urusan kerajaan yang dilaksanakan dan berkuat kuasa sejak 21 Mei lalu,” tambahnya.