Berdasarkan perkongsian di Facebook, sebahagian daripada pulau Pom Pom yang berdekatan dengan pulau Sipadan, Sabah,
sedang ditawarkan kepada sesiapa yang berminat. Kawasan tersebut tidak diduduki oleh sesiapa dan mempunyai keluasan sebanyak 7.3 ekar.
Menurut laporan New Straits Times, sehingga kini terdapat seorang individu yang serius untuk membeli hartanah tersebut dengan harga yang sedikit lebih rendah daripada yang diiklankan.
Walaupun pemilik tanah tersebut menerima tawaran dengan harga lebih rendah, beliau tetap bertekad untuk menjual tanah tersebut pada harga yang diiklankan.
Sebanyak 19 pemilik memiliki tanah di pulau tersebut, namun hanya satu kawasan yang diiklankan untuk dijual melalui platform Facebook.
Pulau Pom Pom terletak 30km ke timur laut Semporna dan terkenal dengan keindahan terumbu karang di sekelilingnya. Kejernihan air birunya menjadikan pulau ini menarik dan damai untuk dihuni.
Walaupun pulau ini pernah menjadi tempat penculikan oleh kumpulan Abu Sayyaf pada tahun 2013, kini keadaannya lebih selamat di bawah kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).