Majlis Akademik Islami pertahan Ust Don hanya khilaf ulama, tak wajar lumpuhkan karier dakwahnya

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syarat tauliah atau melanggar prinsip-prinsip utama Ahli Sunnah wal Jamaah.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Majlis Akademik Islami bagi mengulas tindakan Ustaz Don yang dikatakan mengguna pakai

hadis diragui ketika bersiaran langsung dalam satu program Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Jelasnya, tindakan Ustaz Don meriwayatkan hadis lemah dalam konteks sirah tidak menjadi satu kesalahan kerana pendakwah terbabit hanya menceritakan apa yang termaktub dalam kitab rujukannya.

Malah setakat kenyataan ini dikeluarkan, Ustaz Don Daniyal juga masih memegang tauliah di beberapa buah negeri termasuklah Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor dan lain-lain.

Majlis Akademik Islami pertahan Ust Don hanya khilaf ulama, tak wajar lumpuhkan karier dakwahnya

“Kisah mengenai pinangan Nabi Muhammad S.A.W kepada Ummu Hani’ R.A yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Al-Sa`ib ini disebut dalam beberapa kitab-kitab sejarah seperti al-Tobaqat al-Kubra oleh Muhammad bin Sa’ad, Tarikh al-Tabari oleh al-Imam Abu Jaafaral-Tabari, Tarikh Madinah Dimasyq dan banyak lagi.

“Para ulama berpendapat ‘harus’ mengambil pendapat yang lemah selagimana ia bukan berkaitan dengan perkara hukum dan akidah sebagaimana disebutkan di dalam beberapa kitab termasuklah al-Majmu’ oleh Imam An-Nawawi.

“Periwayatan kisah dan sirah Nabi dari sumber yang diragui atau lemah bukanlah satu perkara baharu dan menjadi isu yang perlu diperbesarkan,” katanya dalam kenyataan yang turut dimuat naik di laman Facebook.

Tambah Majlis Akademik Islami, periwayatan sirah Nabi Muhammad SAW tidaklah seketat hadis daripada kitab-kitab Sunan kerana ia lebih kepada motivasi, gambaran sejarah dan tidak digunakan untuk menetapkan hukum hakam halal dan haram.

Perkongsian kisah daripada Ustaz Don itu juga tidak merendahkan kedudukan Nabi Muhammad S.A.W sebagai seorang nabi dan utusan Allah yang mulia, apatah lagi ia juga berlaku sebelum kenabian Baginda.

“Melihat kepada masa peminangan pertama berlaku, tidaklah terlampau jauh sekiranya dianggapkan itu adalah wanita pertama yang menarik hati Rasulullah S.A.W untuk diambil menjadi isteri.

“Namun ungkapan ‘first love‘ yang disebutkan oleh Ustaz Don dirasakan kurang sesuai, lantas memberi gambaran tidak enak atau tidak menyenangkan kepada mereka yang mendengarnya.

“Oleh yang demikian, para asatizah dan pendakwah perlu bersikap lebih berhati-hati dalam tutur kata serta memilih istilah tepat dan sesuai, supaya apa yang dilafazkan tidak mudah disalahertikan oleh orang yang mendengar,” jelasnya.

Tidak menafikan wujudnya kesilapan cabang ‘ijtihadi’ dalam penyampaian kalangan pendakwah, namun tidaklah wajar perkara ini dieksploitasi atau diambil kesempatan untuk melakukan ‘character assassination’ (pembunuhan watak) dan melumpuhkan karier agamawan tertentu.

Sebaliknya, isu ini seharusnya ditangani melalui mekanisme konstruktif secara lebih berhemah dalam kalangan agamawan dan pihak berautoriti agama, bukan melalui platform media sosial hingga ke tahap mencaci tanpa adab.

“Mana-mana pihak tidak sepatutnya tunduk kepada desakan netizen lebih-lebih lagi yang menggunakan akaun palsu bagi menjadikannya satu isu yang kontroversi, termasuklah desakan daripada pihak yang bukan autoriti agama.” Tegas majlis terbabit.

Baca juga: Aku hidup susah dengan isteri aku. Pernah sekali aku pergi ke kedai makan, tengok menu harganya kami tak mampu.