Seorang lelaki tidak pernah menyangka bakal menerima pengakuan mengejutkan daripada kawan baiknya yang selama ini menjadi tempatnya mengadu masalah rumah tangga.
Difahamkan, lelaki dikenali sebagai Am itu mengundang sahabatnya untuk menonton perlawanan bola sepak di rumahnya kerana sudah bosan melepak di kedai mamak.
Berikut situasi janggal yang dialami oleh kedua-dua lelaki terbabit ketika menonton televisyen ‘berdua’ kerana Am baru sahaja bergelar duda selepas menceraikan isterinya.
“Salam semua. Mungkin luahan aku ini pelik sedikit. Aku duda, mempunyai dua orang anak.
Tetapi aku tinggal sendirian di rumah sebab anak-anak duduk bersama bekas isteri. Sebab apa aku berpisah?
Alasan klise, tiada lagi persefahaman. Nak kata kami bertengkar, tak juga. Selisih faham itu biasalah, adat berumah tangga.
“Keperluan keluarga, perbelanjaan rumah, perhatian kepada anak-anak serta nafkah batin juga tak pernah aku culas. Sebab apabila sudah teringin, jadilah. Sayang? Rasa itu terbit selepas kami bertunang. Kerana baru saling mengenali diri masing-masing. Maklumlah, kami dijodohkan di atas pilihan keluarga.
“Tetapi apabila kami berdua sama-sama merasakan rumah tangga semakin hambar, cubalah cari titik perdamaian. Tak jumpa juga dan akhirnya kami berpisah. Aku juga memiliki kawan baik. Mereka adalah pasangan suami isteri yang amat rapat dengan aku. Sebabnya si isteri adalah rakan sepejabat di tempat kerja lama dahulu.
“Aku namakan mereka sebagai Dian dan Tuah (bukan nama sebenar). Sewaktu aku mengalami masalah rumah tangga dahulu, mereka suami isterilah yang sudi menjadi tempat berkongsi cerita. Mereka merasa pelik, aku dikatakan seorang yang baik dan bertanggungjawab. Lebih-lebih lagi mereka turut mengenali bekas isteri aku.
“Bekas isteri tak pernah cerita kekurangan aku kepada mereka. Cuma ada mengadu tentang kemanisan berumah tangga yang seakan pudar dan lenyap. Tahu-tahu, kami sudah bercerai. Berbalik kepada kawan aku. Awalnya aku sama tempat kerja dengan Dian. Mula kenal suaminya, Tuah sewaktu hari keluarga syarikat kami dahulu.
“Daripada pengenalan itu, aku dan Tuah semakin rapat dan selesa. Kami selalu pergi ke surau, lepak di kedai mamak sambil menonton perlawanan bola sepak, beriadah, bermain badminton atau skuasy bersama. Dahulu kami selalulah berempat, bersama pasangan masing-masing. Tetapi selepas aku berpisah, Dian tak lagi turut serta.
“Aku dan Tuah menjadi lebih ‘kamcing’. Kiranya di mana aku berada, pastilah dia juga ada sekali. Satu kebolehan aku adalah rajin memasak. Malah memasak juga menjadi kaedah untuk aku memulihkan diri dari rasa resah atau hilang semangat. Tak kiralah lauk pauk, kek ataupun pastri. Selepas itu, jamulah kepada jiran.
“Tetapi yang menjadi tetamu VIP pastilah keluarga kawan aku itu. Walaupun aku tak lagi bekerja satu tempat dengan Dian. Baru-baru ini, aku tak berapa sihat. Aku kena demam panas. Alhamdulillah bukan Covid-19, aku belum pernah terkena lagi. Tetapi apabila Dian dapat tahu, terus dia minta suaminya untuk menemani aku.
“Dian kata dia takut sekiranya terjadi sesuatu. Maka, dua malamlah si Tuah tidur di rumah aku. Selepas aku sihat, aktiviti seharian kembali seperti biasa. Baru-baru ini, Tuah datang ke rumah atas undangan aku untuk sama-sama menonton kejohanan bola sepak Eropah, EURO2024. Sebabnya aku sudah bosan lepak di kedai mamak.
“Ketika perlawanan berhenti seketika di waktu rehat separuh masa, Tuah ungkapkan sesuatu perkara yang aku tak pernah jangka akan dengar. Dia kata, ‘Am, I think I’m in love with you’ (Am, aku rasa aku cintakan kau). Reaksi aku? Buat-buatlah tak dengar, kemudian tanya semula apa yang Tuah cakap sebentar tadi.
“Tuah jawab, ‘Perlawanan malam ini bosan, main macam kayu’ sambil berlalu ke bilik air. Sejak kejadian itu, aku dengan Tuah dan Dian masih seperti biasa.
Tiada perkara yang berubah. Cuma aku tak lagi mengundang Tuah tengok bola bersama di rumah. Entahlah, aku rasa diri ini normal sahaja. Tuah juga nampak normal.
“Tetapi mungkin keakraban kami ini telah mencetus sesuatu yang baharu dan di luar norma pemikiran Tuah, sahabat aku itu. Tetapi aku mengakui,
sedikit sebanyak turut rasakan apa yang Tuah katakan. Penyondolkah aku? Perlukah jarakkan keakraban dengan kawan aku dan isterinya?.” Soal Am (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: Makcik cleaner terjumpa beg berisi RM254,000 di lapangan terbang sekali ini yang jadi