Satu kajian oleh pakar penjimatan wang, Vouchercloud, telah mendedahkan waktu yang paling tepat untuk menempah bilik hotel.
Kajian yang melibatkan 30 hotel termasuk rangkaian terkenal seperti Travelodge, Premier Inn, dan Holiday Inn, menunjukkan penemuan yang boleh menguntungkan pelanggan.
Secara purata, anda boleh menjimatkan sehingga £3.30 (RM17.84) seminggu jika tempahan dibuat lebih awal.
Bayangkan jika anda membuat tempahan empat minggu atau sebulan lebih awal, harganya pasti lebih murah.
Malah, anda boleh menjimatkan sehingga 15 peratus atau lebih daripada harga biasa.
Kajian ini juga dijalankan di 10 bandar dengan populasi tertinggi di United Kingdom pada tiga masa berbeza untuk mencari waktu tempahan yang terbaik.
Jika anda menginap di Travelodge misalnya, anda perlu membayar £63.64 (RM343.98) untuk satu malam. Jika ditempah lebih awal, anda dapat jimat sebanyak £3.11 (RM16.81) bagi setiap minggu sebelumnya.
Namun, disebabkan bilik di Holiday Inn lebih mahal, penjimatannya lebih banyak iaitu sekitar £4 (RM21.62) setiap minggu.
Berbeza pula dengan Premier Inn, dengan bayaran purata sebanyak £69.54 (RM375.87) bagi penginapan satu malam, anda boleh jimat antara £2.78 (RM15) hingga £3.65 (RM19.7) bagi setiap minggu.
Selain itu, jika anda mahu menginap di ibu kota negara berkenaan, ia pastinya satu pilihan yang tepat kerana di situ anda akan mendapat penjimatan terbesar.
Di kawasan bersejarah seperti Edinburgh, Scotland misalnya, setiap tempahan awal akan memberi penjimatan sehingga 4.33 peratus bagi setiap minggu.
Ini bermakna anda dapat jimat sehingga £18.77 (RM101.45) seminggu jika ditempah lebih awal.
Begitu juga di London, anda dapat jimat sehingga £5.04 (RM27.24) bagi setiap minggu tempahan awal dibuat.
Ketua Operasi Vouchercloud, Chris Johnson berkata, adalah bagus jika semua orang tahu bahawa tempahan hotel lebih awal dapat menjimatkan wang.
“Harga memang akan jadi lebih rendah jika ditempah awal. Jadi, perancangan dan persediaan itu penting,” katanya.