Zaman sekarang, setiap perkara memerlukan wang.Oleh itu, tidak menghairankan apabila ramai yang bersedia untuk bekerja keras dari pagi hingga malam untuk menambah pendapatan mereka.
Tetapi, percayalah atau tidak, golongan ini sering kali mendapati diri mereka berada dalam kesempitan kewangan.
Pasti timbul persoalan, mengapa perkara ini berlaku?Ada pepatah yang mengatakan, ‘jangan biarkan diri bekerja untuk wang, tetapi biar wang bekerja untuk kita’.
Sebenarnya, terdapat pelbagai sebab yang menyebabkan keadaan ini berlaku, termasuk ketiadaan pengetahuan dalam pengurusan kewangan,
kekurangan kemahiran dalam merancang belanja, gaya hidup mewah yang melebihi pendapatan, dan sebagainya.
Akibatnya, bukan sahaja mereka menyusahkan diri sendiri tetapi juga keluarga mereka.
Seorang pakar kewangan dan hartanah yang juga motivator, Dr Azizul Azli Ahmad, mengenal pasti empat tahap ‘dosa kewangan’ yang sering dilakukan oleh kebanyakan individu.
Peringkat 1
Ada pendapatan tetap dan boleh menabung, tetapi tabungannya selalu digunakan.
Dalam erti kata yang lain, golongan ini gemar berbelanja mengikut kata hati tanpa membuat perancangan terlebih dahulu.
Kesannya, belum pun masuk tengah bulan, wang di dalam bank semakin berkurangan. Maka terpaksalah mengikat perut sementara menanti hari gaji.
Ramai yang berbelanja sehingga wang yang ada tidak mampu bertahan hingga hujung bulan. -Gambar hiasan
Peringkat 2
Ada pendapatan tetap, tetapi belum ada tabungan atau dana kecemasan serta perlindungan takaful.
Kebanyakan individu tidak sedar mereka berada di dalam peringkat ini. Boleh dikatakan, masih ramai yang tidak mempunyai kesedaran untuk mengambil perlindungan takaful.
Lebih parah, tabungan dana kecemasan pun langsung tidak ada!
Kesannya, jika diuji dengan musibah atau kemalangan, kita belum ada simpanan wang yang mencukupi untuk menanggung kos yang diperlukan.
Peringkat 3
Perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan. Setiap kali dapat gaji buat formula gali lubang tutup lubang.
Ramai juga individu yang berada di dalam peringkat ini. Sedikit sebanyak, perkara ini dipengaruhi oleh faktor gaya hidup yang mewah tetapi tidak mengukur baju di badan sendiri.
Kesannya, baru dapat gaji pun rasa macam hujung bulan!
Peringkat 4
Tidak ada pendapatan tetap tetapi banyak hutang, sampaikan pinjam ah long dan ada hobi suka berjudi
Ini peringkat dosa kewangan yang paling besar! Sudahlah tidak mempunyai pendapatan tetap tetapi berani membuat pinjaman berbanding mencari penyelesaian untuk menjana pendapatan.
Kesannya, kemungkinan individu dengan tabiat seperti ini akan kekal miskin dan menyusahkan orang terdekat dengan masalah kewangannya. Silap hari bulan, boleh jadi gelandangan!
Justeru, elakkan diri anda daripada terjebak melakukan ‘dosa kewangan’ ini.
Jika tergolong dalam kumpulan ‘dosa’ berkenaan, cepat-cepatlah tersedar dan ‘bertaubat’.
“Apa saja dosa kewangan, mulakan dengan taubat dan kita baiki diri. Pasti ada jalan keluarnya,” akhiri beliau.
BACA: McDonald kalah dalam perbicaraan, dilarang menggunakan nama ‘Big Mac’