Saya perempuan berumur 35 tahun, anak ke 3 dari 5 adik beradik. Mempunyai 2 kakak dan 2 adik lelaki.
Ibu saya sudah tua berumur 72 tahun. Bukan dari golongan orang senang di masa kecil.
Ibu suri rumah, mengambil upah cuci pinggan dan menolong di kedai masakan, demi mencari duit tambahan menampung kami adik beradik.
Ayahku bekerja di sektor kerajaan. Wang gajinya sentiasa tidak mencukupi membuatkan kami serba kekurangan.
Bukanlah seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab. Biarkan la cerita mengenai ayahku disitu. Aku malas nak cerita panjang dan ayah pun sudah tua dan semakin uzur.
Di sebabkan itu ibu mengambil upah pelbagai pekerjaan sehingga dia mahir memasak dan membuka gerai menjual pelbagai lauk pauk dan kuih -muih. Semua itu ibu usahakan sendiri tanpa bantuan sesiapa. Bayangkan kudrat ibu ketika itu tanpa henti bekerja tak kira masa.
Kami adik beradik ketika itu membantu apa yang perlu. Banyak ibu berkorban untuk kami dan bersusah payah untuk kami di waktu kecil sehingga la kami besar dah bekerja ibu masih terus di gerainya. Kami dibesarkan dengan duit hasil dari gerai ibu itu.
Pernah waktu kecil ibu balik dalam keadaan basah kuyup di timpa hujan and ribut ketika itu. Jatuh basikal kerana terlalu penat. Bangun seawal 2 pagi tuk mula persiapan di gerainya nanti. Terlalu sedih tuk ku bayangkan betapa susahnya dia ketika itu demi menyara kami sekeluarga.
Aku ingin bercerita mengenai kakak yang sulung, 10 tahun lebih tua dariku. Dia belajar hanya setakat SPM. Di waktu sekolahnya dia banyak main-main dan tidak serius dengan pelajaran. Dengan keputusan yang tidak memberansangkan ketika itu, dia terus berhijrah ke Kuala Lumpur tuk bekerja.
Ketika itu dia bekerja sebagai kerani di sebuah organisasi. Hanya cukup untuk menyara diri sendiri. Kadangkala ibu masih membantu dari segi kewangan hasil dari meniaga di gerainya. Walaupun duit jualan itu tidak cukup untuk kami sekeluarga tapi ibu masih berusaha mencukupkan dan berjimat tuk membantu kakak di Kuala Lumpur.
Sehingga la kakak mendirikan rumah tangga, kakak masih menghadapi masalah kewangan akibat berbelanja boros. Kakak di kurniakan 3 anak, ibu masih membantu mereka. Bagi duit untuk membeli susu anak-anaknya, kakak sering mengadu tiada duit untuk beli susu anak.
Malahan mahu servis kereta pun ibu yang memberikan duit kepadanya. Dengan alasan supaya mudah kakak membawa cucunya pulang ke kampung. Malahan banyak kali apabila pulang ke kampung, ibu membekalkan kakak beras, minyak, gula dan lain2.
Pernah ibu menggadai barang kemasnya untuk kakak kerana ketika itu kakak mempunya tunggakan sewa rumah yang banyak dan beribu-ribu. Kerana tidak mahu kakak hilang tempat tinggal, ibu terpaksa membantu dengan menggadaikan barang kemasnya.
Kakak dan suami ketika itu berjanji akan tebus semula barang kemas ibu. Tetapi itu hanya tinggal janji… Barang kemas ibu lebur di pajak gadai begitu sahaja. Terlalu banyak yang ibu korbankan untuk membantu kakak kerana kasih dan sayang terhadap anak dan cucunya.
Setelah lebih kurang 10 tahun berlalu, hidup kakak sudah berubah. Dia semakin sukses dengan perniagaan online. Rezekinya dan mungkin (atau semestinya) berkat doa seorang ibu yang tidak putus-putus buat anak-anaknya supaya di murah kan rezeki dan tidak hidup susah seperti ibu. Kakak juga dilihat tidak kedekut dengan ibu.
Cuma kakak mempunyai banyak perangai pelik dan tidak baik yang tak disukai keluarga. Dia kuat mengungkit dan suka show off, menunjuk-nunjuk. Jika dulu dia tak pernah memberi ibu hasil duit gajinya, sekarang dia banyak membantu ibu. Belikan macam-macam untuk ibu.
Akan tetapi, dia sering mengungkit setiap pemberiannya. Dia juga seorang yang riak. Jika dia memberi ibu duit RM1k contohnya, dia akan bagi tahu semua adik beradik dan mengatakan yang dia lah bagi ibu duit paling banyak.
Walhal kami adik beradik yang lain, alhamdulillah berkat doa ibu dan hasil usaha titik peluh ibu berniaga, kami telah berjaya dalam pelajaran dan kami mendapat ijazah dalam pelbagai bidang dan mendapat pekerjaan yang baik dan tidak pernah menyusahkan ibu kami setelah bekerja.
Malahan kami adik-adik yang lain sejak bekerja, kami mesti bagi ibu duit bulanan bagi membantu ibu dan tidak pernah kami terlupa memberi walaupun sedikit. Tapi kami adik-adik yang lain tidak seperti kakak, perlu di canang berapa kami memberi, banyak mana kami membantu.
Kami juga seperti anak yang lain yang mahu membalas jasa ibu dan membuatkan ibu bahagia. Cuma kami memberi tanpa perlu di canangkan kepada adik beradik yang lain. Cukuplah ibu seorang yang tahu dan happy dengan pemberian anak-anaknya.
Walaupun kakak boleh dikatakan sukses dengan perniagaan onlinenya, dia masih meminjam duit ibu beberapa kali kononnya nak buat modal. Ibu seperti biasa akan usahakan membantu anaknya tanpa syarat.
Pernah kakak pinjam 5ribu dari ibu. Pabila dia ganti duit itu, dia akan bagi tau adik beradik yang lain konon nya dia memberi ibu sebangak 5 ribu. Sedangkan duit itu adalah duit yang di pinjam dan diganti balik kepada ibu. Kami semua hanya diam.
Malahan ibu sendiri diam tidak terkata apabila kakak riak seperti itu dan tidak bercakap benar. Kami taknak komen apa-apa sedangkan kami tahu hal yang sebenar. Diam lebih kepada menjaga air mukanya ketika itu. Taknak kakak malu yang kami tahu itu adalah duit yang diganti kepada ibu.
Kakak juga suka memporak perandakan hubungan adik beradik. Setiap kali pulang ke kampung, dia kerap menokok tambah cerita, tak tahu apa sebabnya. Mungkin dia gembira berbuat demikian, tapi setiap kali dia pulang pastu akan timbul pergaduhan. Dia suka mengadu kepada ibu dan mengatakan yang bukan-bukan pasal adik-adiknya yang lain.
Dan kami sedih bila ibu mempercayainya. Aku sendiri pernah bertanya ibu, kenapa ibu percaya semua kata-katanya. Ibu mengatakan bahawa itu anaknya, jika orang lain tak percaya siapa lagi yang mahu percaya? Sedihnya hanya tuhan yang tahu.
Di sebalik keburukan kakak itu, mesti ada kebaikannya. Kakak seorang yang tidak kedekut dan berkira. Sering menjamu kami adik beradik yang lain makan-makan. Tetapi setiap kali dia membawa kami makan-makan, dia mesti update di media sosial mengatakan dia telah berhabis duit sebanyak RMxxxx supaya orang tau kebaikannya.
Apa yang saya perhati, dia sukakan perhatian, dan dia suka bila orang memujinya banyak duit dan kaya. Setiap pembelian termasuk kereta baru, handbag berjenama akan di tayang di media sosial termasuk resit pembelian. Pelik kan? Atau tiada yang pelik di zaman sekarang?
Kakak juga sering bercakap bohong dengan semua orang. Tak faham kenapa ingin berbohong cerita yang tidak betul. Sering mereka-reka cerita benda yang tidak ada.
Pernah kakak bercerita mengenai diriku kepada ibu, tapi cerita yang di sampaikan tidak tepat dan banyak yang di tokok tambah. Sedangkan aku di situ mendengar terkedu tapi kakak selamba terus bercerita dan menipu. Sampai macam tu sekali kakak menipu. Dah lama aku berubah, tak pernah nak percaya apa yang dikatakan oleh kakak.
Apabila kakak berborak dengan aku, kakak akan bercerita pasal adik-adikku ku. Tapi aku bosan dan aku tahu semua cerita adalah rekaan. Semakin hari aku semakin bosan walaupun seandainya cerita itu betul, aku langsung memilih untuk tidak mempercayainya kerana kakak terlalu kerap berbohong dan mereka cerita.
Kakak banyak kali melukai hati ibu, banyak kali diungkitnya kepada ibu mengatakan dialah yang paling banyak membantu ibu. Walhal kakak lupa jasa-jasa ibu yang tak terbalas, yang banyak membantunya dulu. Kakak lupa.
Suatu hari kakak dan ibu bergaduh. Punca mereka bergaduh apabila ibu ketika itu keluar ke kedai membeli barang. Setiba ibu di rumah melalui pintu belakang, ibu terdengar kakak sedang berbual dengan makcik kami bercakap mengenai keburukan ibuku.
Kakak mengatakan ibu tidak melayan jiran kami dengan baik dan sering bermasam muka dengan jiran. Sedangkan apa yang dikatakan itu tak betul sama sekali. Memang pernah ibu bermasam muka dengan jiran kami, tapi itu semua sudah berlalu dan mereka saling berbaik dan bermaafan.
Pada saya itu adalah biasa dan bukan masalah besar sampai menghukum ibu tanpa mengetahui punca mereka bermasam muka. Ketika mendengar perbualan mereka, ibu merasa sangat marah kerana tergamak anaknya sediri memburuk-burukkan dirinya, mereka cerita serta menokok tambah cerita kepada orang lain.
Ibu terus sergah kakak dari belakang. Dan paling tidak disangka, kakak dengan selamba memarahi ibu dan tidak merasa bersalah mengutuk ibu sendiri kepada orang lain. Ibu bertanya kepada kakak kenapa sanggup berkata belakang pasal ibu, tapi kakak terus jawab pasal perkara lain yang tidak berkaitan malahan mula mengungkit segala pemberiannya kepada ibu.
Dia terus memarahi ibu dan terjerit-jerit sedang dia sendiri yang bersalah. Orang yang bersalah takkan mengaku salah agaknya ya? Dengan menjerit, dia rasa dia menang dan apa yang dikatakan adalah betul? Aku lihat sendiri betapa luluh dan hancurnya hati ibu ketika itu.
Segala perkataan yang keluar dari mulut kakak sangat tajam seperti orang yang tiada agama yang lupa dia bercakap dengan seorang ibu yang telah tua. Dia membahasakan ibu ketika itu sebangai ‘KAU’. Ibu hanya berdiam dan menangis teresak-esak mungkin terkedu dan tidak menyangka apa yang dikatakan oleh kakak.
Wahai kakak, apa pangkat mu mahu memanggil ibu ku begitu? Kawan kah? Adik kah? Kuli kamu kah? Sedar tak betapa berdoasa besarnya kamu ketika itu begitu lantang berkata keburukan ibu dengan ber ‘kau dan aku’ degan ibu sendiri?
Tanya la ustaz atau ustazah atau ulama mana pun, tak kira salah apa pun ibu kamu (jika bersalah) terhadap anak itu, tak layak seorang anak memarahi dan memaki hamun ibunya sedemikian.
Tolong jangan tanya kenapa kami membiarkan kakak terus menerus memarahi ibu. Lantang kakak tiada siapa antara kami adik beradik yang mampu lawan. Nasihat tidak sekali, di katanya kami yang muda tak cukup makan garam ini mahu mengajarnya. Suaminya sendiri pun tidak mampu mengajar dan menegurnya.
Ibu menangis semahu-mahunya kerana anak yang dilahirkan, dijaga, ditatang bagai minyak yang penuh sanggup marah dan maki dengan kata-kata yang menghiris hatinya.
Lagi sedih ketika itu bila ibu berkata kepada kakak, maafkan segala dosa-dosa ibu, mintak di halalkan segala makan dan minumnya selama ini, di halalkan segala duit yang diberinya.
Usah risau, ibu telah lama mengahalalkan segalanya untuk kakak termasuk susu badan yang mengalir dlm dirinya. Memaafkan segala salah dan silap kakak kepadanya kerana tak mahu kakak terus menerus menderhaka dan berdosa terhadapnya sebagai seorang ibu.
Betapa sedihnya aku mendengar kata-kata terluka dari seorang ibu ketika itu. Kakak Cuma diam dan tidak berkata apa-apa. Masih tiada perkataan maaf keluar dari mulut kakak. Egonya seorang anak terhadap ibunya.
Kakak, selepas kejadian terus pulang ke kuala lumpur. Sempat berpesan kepada ibu yang dia tidak mahu lagi pulang ke kampung kerana segala jasa dia terhadap ibu dan keluarga kami selama ini tidak dikenang. Huh? Aku terpinga-pinga dengan kata-katanya. Dia juga berkata yang segala kebaikan dia tetap dilihat buruk di mata ibu.
Astagfirullah… Selama beberapa hari selepas kejadian itu ibu tak henti-henti menangis. Dia mengatakan hatinya sangat terluka dengan kata-kata kakak itu. Aku dan adik beradik yang lain hanya mempu mendengar dan berharap ibu bersabar dengan segala dugaan ini.
Sehingga ke hari ini, setelah berbulan masa berlalu, kakak tidak langsung bertanya kabar mengenai ibu. Terus senyap sepi. Ibu lebih banyak mendiamkan diri dan langsung tidak bertanya atau menyebut mengenai kakak. Tapi aku tahu, setiap kali selasai solat, dia sentiasa mendoakan anak-anaknya terutama sekali kakak.
Kepada kakak, aku berharap kakak dapat berfikir dengan waras mengenai segala-galanya. Bermuhasabah diri adalah perkataan paling sesuai untukmu kakak. Dirimu bukan muda yang cetek akal. Kakak sendiri ada anak dan saya yakin kakak tahu perasan seorang ibu.
Kakak, seingat saya lagak seperti ustazah pabila menasihatkan adik-adikmu tentang agama. Masakan seorang yang kononnya alim tidak tinggal solat, lupa untuk mentaati ibu and menderhaka terhadap ibu?
Semoga kakak terbuka hati berdoa kepada Allah supaya diberi hidayah dan petunjuk Allah. Dan meminta ampun kepada ibu sebelum terlambat. Kita tak kan tahu berapa lama masa yang kita ada tuk bersama ibu. Tak boleh saya bayangkan hidup tanpa ibu kerana saya terlalu menyayangi ibu. Tapi saya tahu mati itu pasti.
Hargailah ibu selagi ada. Jasanya melahirkan kita, membesarkan kita, bersusah payah mencari rezeki untuk anak-anak takkan mampu kita balas sehingga ke akhir hayat.
Ya Allah… aku berdoa pada-Mu pelihara lah ibuku.. berilah syurga untuk ibuku. Panjangkan lah umurnya dan adik beradik ku yang lain supaya dapat menjaga dan membahagiakan ibuku. Permudahkanlah perjalanan hidup ibuku di dunia dan akhirat nanti. Berikanlah kebahagian buat ibuku sehingga akhir hayatnya.
Biar dia di buang kakak, tapi kami adik beradik yang lain tetap akan terus menjaga dan membahagiakan ibu. Aku berdoa agar kami adik beradik yang lain tidak melayan ibu seperti apa yang kami lihat atas perbuatan kakak.
Kepada ibuku, aku berjanji akan menjagamu ibu. Semoga Allah meluaskan lagi rezeki kami adik beradik yang lain tuk membalas jasa ibu dan membahagiakan ibu… amin.
Terima kasih semua kerana sudi membaca. Semoga cerita saya ini dijadikan iktibar tuk kita semua. Hargailah ibu kita…
– Adik (Bukan nama sebenar)