Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih bagi yang sudi membaca..
Perkahwinan yang dibina memasuki usia 7 tahun dengan dikurniakan 3 orang cahaya mata perempuan.
Percaya dengan bercinta selepas nikah adalah baik dan menjamin kebahagian. Hasil perkenalan daripada seorang guru yang aku anggap bapa angkat aku.
Tetapi apa apa berlaku itu takdir, aku tidak menyalahkan sesiapa.Baru sekarang aku berani buka mulut kerana tahap kesabaran aku sudah sampai maksimum.
Awal perkahwinan kami duduk berjauhan kerana aku belum dapat pindah tempat kerja. Dalam tempoh ini kami bergilir untuk berjumpa.
Minggu aku cuti, aku akan balik ke rumah suami biasanya 2 minggu sekali. Dia akan balik jumpa aku pada minggu aku tidak dapat cuti sabtu ahad sebab aku kerja syif.
Selepas bersalin anak pertama baru dapat pindah duduk sebumbung tetapi dirumah mertua. Setahun lebih aku tinggal dengan mertua.
Mertua memang sangat baik layan aku macam anak sendiri. Tetapi layanan suami tidak macam suami. Dia banyak melayan mak dia sahaja.
Ya…. memang aku jarang masak di rumah mertua kerana mertua yang hendak masak. Aku akur.
Bila dah sebumbung baru aku tahu perangai suami yang mana selalu keluar malam sampai lewat pagi.
Walaupun dia kata ada dekat sahaja dan di depan rumah tetapi di mana tanggungjawab dia kepada anak bini.
Bila dah balik dia akan ke bilik lain atau depan tv untuk tidur sampai lah ke pagi dan tegak matahari.
Sampai lah suatu hari pak mertua tanya mana dia sebab anak nangis tapi tak ada yang bantu aku.
Aku hanya jawab dia dah m4ti. Sedangkan dia tidur di bilik. Mak pak tak pernah tegur dia. Aku hanya diam.
Dia akan datang cari aku bila dia nak puaskan nfsu dia sahaja, dan tinggalkan aku semula dalam bilik bersama anak.
Aku hanya seperti perempuan simpanan. Aku nangis sorang sorang. Adakah ini cara rumahtangga sebenarnya. Aku diam.
Dia kerap marah bila dengar anak menangis. Pada fikiran aku masa kecik agaknya dia tidak pernah menangis.
Dia pernah sahaja balik apa yang ada depan dia sehingga kena pada anak.
Dalam kepercayaan kepada dia, aku pernah bagi kad bank pada dia. Katanya nak bayar saman RM300.
Tetapi bila aku cek online duit aku lebih daripada ni hilang sampai aku call bank di mana transaksi berlaku. Ternyata memang dia perlaku. Dia pulangkan tanpa kata apa apa.
Aku diam. Sehingga sekarang saman tu tidak berbayar pun sebenarnya.
Aku suruh dia cari rumah tetapi dia kata rumah mertua tu akan jadi milik dia sebab adik beradik bagi pada dia sedangkan tiada hitam putih pun.
Tidak lama kami beli rumah perkongsian bersama setelah aku bagi syarat ada anak no 2 beli atau sewa rumah.
Kehidupan aku bila ada rumah sendiri tidak seperti rumahku syurgaku. Dia ada bilik sendiri. Aku syak dia tengok bapak dia bilik asing asing dengan mak dia. Aku diamkan.
Dia jarang tolong aku mengurus anak anak masa anak anak kecil. Dia selalu tidur sahaja bila waktu lapang.
Dia kerap marah marah bila anak kecil bermain, mainan sepah sepah. Dia juga pernah kata bising la duduk rumah.
Dan aku jawab. Pergilah duduk hutan sana. Dia tepis kipas dan berterabur. Sejak itu aku bisukan mulut dan pekakkan telinga kalau dia marah.
Dia juga akan marah dan kata pvkimak, setan, bdoh bila cari benda yang tak jumpa. Sepertinya marah aku.
Sampailah sekarang ada anak no 3. Ingatkan dia berubah jadi lebih matang. Dammmm…
Salah! Anak no 3 langsung taknak dengan dia dan dijaga aku sepenuhnya.
Aku sakit buasir 2 minggu, dia boleh pergi rumah mak pak dia untuk buka puasa bawa anak 2 orang dan bila malam biarkan aku tidur bersama anak no 3 sahaja. Dia tidur di luar dengan 2 orang anak.
Dia anggap mak pak adik beradik dia keluarga tetapi bila mak adik beradik aku orang luar.
Hanya tanya bila balik kampung, dia mula marah dan kata aku lebihkan keluarga aku.
Sedangkan aku hari hari pergi rumah mak pak dia ambil anak dan tunggu sehingga 10 malam. Tunggu dia datang makan rumah mak pak dia.
Kadang aku terpaksa balik dulu sebab anak kecil dah mengantuk. Aku banyak habiskan masa aku dekat rumah mak pak dia sahaja.
Aku tiada giliran beraya sebab terikat dengan pak mertua nak ambil gambar pada hari raya pertama. Aku turutkan 7 tahun ni.
Walaupun selepas zohor akan balik kampung aku dan cuti lama sikit di kampung tetapi aku juga hendak rasa berpuasa dan balik kampung awal.
Tahun lepas aku minta balik kampung aku dahulu setelah 2 tahun PKP tidak balik beraya.
Aku dah bincang dengan dia, tetapi dia kata aku membelangkan dia dan aibkan dia. Bila mana pada hari ke 2 raya dia buat muka dan tak makan.
Mak aku hanya kata kalau merajuk merajuk lepas ni tak payah balik. Dia sentap. Terus suruh balik esok tengahari.
Bila sampai di rumah mak pak dia, aku kata ingatkan balik rumah. Dia terus marah campak kunci dan cakap ‘aku bukan kuli macam kau’. Aku diam kan dari keluarga dia buat macam takde apa berlaku.
Beberapa bulan dah berlalu, rupanya masih simpan. Dia cuma akan hantar aku balik kampung dan dia balik semula ke rumah atau ke rumah kakak dia.
Pergaduhan berlaku apabila aku tolak untuk bersama kerana badan aku flat waktu itu. Hampir sebulan setengah aku dimusuhi.
Aku cuba minta maaf tetapi tidak dibalas dalam whatsap.
Sehinggalah suatu hari dia tertinggal telefon. Aku cek kenapa tidak balas. Dia letak nama aku puaka dengan whatsap aku gambar anak anak, sampai hati dia letak nama tu.
Aku ajak bincang, dia mengelak dalam bilik air dan kata fikir sendiri. Dan nak keadaan mcam ni sampai bila bila.
Aku bincang lagi dalam whatsap tanya macam mana nak layan dia. Dia jawab, “kalau cara dah salah semua salah. Banyak mana pun kau minta maaf aku tak maafkan”.
Sampailah dia whatsap “carilah yang lebih baik, alim. Apa apa mula dahulu. Dah tak boleh hadap”.
Aku nekad failkan kes di mahkamah setelah minta petunjuk dari Allah.
Bila dia tahu aku buka fail, baru dia nak berbincang dan suruh aku tarik balik kes.
Aku dah suruh dia berubah dan dia kata ambil masa.
Dalam masa itu Allah tunjukkan pada aku rupanya dia melayan perempuan yang hampir 2 tahun berhubungan.
Dan aku jumpa gambar lvcah. Hati bini mana tak tawar bila jadi macam ni.
Patutlah dia selalu datang lambat nak pergi rumah mak pak dia tiap hari rupanya melayan perempuan dalam whatsap.
Dia biarkan aku uruskan anak anak sendiri. Dia banyak menghabiskan masa dalam bilik sendiri. Dan dia terlibat dengan bitcoin.
Bil bil banyak tertunggak sehingga kena potong. Aku tak sangka dia macam ni. Kemana duit dia. Dia tak ada bagi aku sedikit pun duit belanja.
Aku menggunakan duit aku sendiri sebab aku bekerja.
Sehingga sekarang kes mahkamah masih berjalan sebab dia taknak lepaskan aku. Dia cuma nak anak anak. Aku dibiarkan sahaja.
Dan sekarang dia menjarakkan 2 orang anak aku daripada aku.
Baru aku tahu dia seorang yang narsistik sebenarnya. Bila tidak dapat manipulasi aku, dia jadi lagi marah.
Dia juga manipulasi keluarga dia dan anak anak aku.
Reaksi Warganet
ARmina Zulkifli –
To TT, takpe biar dia ambik anak anak awak. Sebab tu je cara dia nak buat awak lemah dan tunduk dekat dia.
Sebab dia tau kelemahan awak adalah anak anak!
Cakap dekat dia ok, awak boleh ambil anak anak. Jangan fight ambik anak anak lagi, dia main tarik tali percayalah.
Dan dia akan pulangkan anak anak awak sebab dia tak pernah pon jaga anak anak awak dari kecik.
Think about it. Reverse psychology will help you this time.
Nur Hazlina Saad –
Puji dengan TT sebab dalam diam pun sentiasa mempertahankan diri dan akhirnya tahu bila nak angkat kaki.
Yang tak pernah merasai memang tak tahu susah untuk keluar dari perkahwinan yang toksik.
Ada macam macam isu yang semuanya sukar sukar dan berat berat untuk ditangani.
Kena rasa dulu baru tahu sakitnya tu di sini. Lagi lama lagi susah nak keluar sebab dah jadi Stockholm syndrome.
Lagi satu sebagai orang luar jagalah kata kata kita kerana kita akan diuji kembali dengan kata kata kita nanti. Takut tak tertanggung je nanti
Aini Mohamad –
Ini nasihat untuk TT. Jika tekad puan dah cukup bulat, teruskan.
-Tahniah sebab akhirnya puan dah celik mata: rupanya bersusun redflag attitude suami.
-Tahniah juga sebab sudah failkan penceraian. Keraskan hati. Teruskan tekad.
-pasal anak. Boleh jadi akan berlaku rebutan.
1. Puan boleh fight hak jagaan anak.
ini pula pandangan yang kurang popular.
2. letak target agar perkahwinan terbubar dahulu. Pasal 2 orang anak yang suami macam nak pisahkan dengan puan tu saya merasakan suami bukan nak sangat anak.
Itu lebih kepada dia nak ajar puan sebab nak sangat mintak cerrai.
Ada jenis suami yang pendendam tak nak si isteri bahagia, guna anak sebagai modal agar puan kembali kepada perkahwinan.
Ada juga yang baru tersedar si isteri tak perlukan dia. Jadi langkah ambil anak untuk puaskan hati dia agar bekas isteri merana.
Kadang elok juga biar si suami tu jaga anak, biar dia tahu susah payah nak jaga anak macam mana.
Anggap saja bagi masa untuk bonding time si suami dengan anaknya. Puan boleh fokus kerja dan anak yang kecil.
Dari sudut permulaan menjadi ibu tunggal, juga lebih mudah mengurus 1 anak berbanding 3 sekaligus.
Jika si suami tu betul betul fokus pada skandal nya, tentu dia jaga anak tak lama.. lepas tu tentu akan pass kepada puan juga.
Sebab terbeban dengan tanggungjawab dan lagi pula, kalau nak kahwin baru, bini baru ni tak adanya nak jaga anak anak tiri.
Jadi jangan takut kalau suami ugut tak kan bagi anak.
Ini pula pesanan sesama kita kaum wanita.
1. Tak pernah ada orang share tips kalau nak suami berubah, maka kita kena beranak lagi dan lagi.
Manusia ni, kalau dia tak nak berubah..maka tak ada siapa boleh ubah.
Kita yang jadi bini jangan ingat bila kita beranak makin ramai, maka si suami yang bermasalah akan berubah. Suami makin sayang. Suami tak akan buat perangai. No.
2. Bila kita terikat dengan suami yang bermasalah, jangan himpun sehingga tahu suami rupanya ada skandal baru nak start ambil tindakan, baru nak tawar hati, baru start celik mata.
Sepatutnya ada 1 masalah. Selesaikan. Ada 5 masalah..selesaikan. Tak boleh? Keluar dari punca masalah.
Ini tak..bila ada skandal baru celik mata selama hari nafkah tak dapat, si suami tak bantu urusan rumah tangga dan lain lain lagi masalah.
Agaknya selagi tak tahu si suami ada skandal, selagi tu redha aje memanjang.
Sumber – Ija (Bukan nama sebenar) via IIUMC