“Bini tua meroyan lepas aku menikah dengan suami dia, siap hantar patung khinzir dekat rumah”

Oleh DAHLIA MARZUKI

Kerana cinta, seorang wanita nekad memilih suami orang sebagai pendamping hidup walau menerima tentangan yang hebat daripada ahli keluarganya sendiri.

Wanita itu bagaimanapun menyesali keputusannya untuk menikah di Selatan Thailand selepas suaminya berubah sebaik sahaja penikahan mereka diketahui isteri pertama.

Menyedari dirinya ditimpa balasan kerana merampas hak orang, berikut perkongsian wanita yang mencuba untuk bangkit selepas tersilap langkah di suatu ketika dahulu.

“Hai, Assalamualaikum semua. Saya ingin meluah dan berkongsi cerita walau sudah pasti ramai membenci.

Tetapi lebih selamat jika saya cerita di sini. Saya adalah orang ketiga di dalam perkahwinan bekas suami.

“Bini tua meroyan lepas aku menikah dengan suami dia, siap hantar patung khinzir dekat rumah”

Saya masih muda, umur pertengahan 20-an. Kami sebenarnya sudah bertahun-tahun menjalinkan hubungan.

“Ketika itu, bekas suami berjanji segalanya untuk saya. Oleh itu, saya percayakan dia sangat-sangat sampai akhirnya kami menikah juga tanpa pengetahuan keluarga dan isteri pertama. Betul, kami menikah di sempadan Thailand. Suami janji untuk berterus terang dengan isteri pertama dan keluarga saya selepas berkahwin.

“Tetapi disebabkan suami terus berdiam, saya buat keputusan untuk beritahu sendiri keluarga. Pada mulanya, keluarga marah dan tak terima kerana dari awal mereka tak setuju saya ada hubungan dengan suami orang. Tetapi saya abaikan. Saya tetaplah pertahankan dia sampai keluarga mengalah dan mula terima kami.

“Beberapa bulan selepas itu, bekas suami masih berdiam diri dan enggan berterus terang dengan isteri pertama. Malah, dia menipu dan cakap sudah beritahu kepada isteri pertama tentang pernikahan kami. Saya tahu itu hanyalah penipuan dan terus mendesak untuk bekas suami berterus terang dengan isterinya.

“Dalam hati sudah tahu bekas suami tidak akan memilih saya walaupun dia berjanji tidak akan meninggalkan isteri baharunya ini. Tetapi saya tetaplah minta dia untuk terus terang. Akhirnya saya sendiri yang telefon isteri pertama untuk beritahu tentang pernikahan kami. Bekas suami ada sekali sewaktu panggilan itu dibuat.

“Perkara yang dijangka betul-betul terjadi. Bekas suami hanyalah diam dan biarkan saya bertekak dengan isteri pertamanya dalam telefon. Sebaik beritahu bekas suami yang saya mungkin mengandung (datang haid lambat), dia jawab akan tolong jaga anak bersama-sama tetapi sebagai bekas suami sahaja.

“Kata bekas suami, pilihan dia isteri pertama dan anak mereka. Kecewa? Ya, sangat-sangat. Bekas suami nak melafazkan cerai menerusi panggilan telefon sahaja. Tetapi saya halang sebab kami menikah secara senyap. Tak akanlah nak bercerai cerai pun begitu. Saya minta dia datang ke rumah. Dia datang bersama isteri pertama.

“Hadapan isteri pertama, ibu dan abang saya, bekas suami melafazkan talaknya. Ibu marah. Dia cakap macam inikah lelaki yang selama ini kamu pertahankan bermatian dan anggap baik, buang kamu? Balasan untuk saya kerana ambil hak orang. Selepas itu, dia menghilang. Segala nombor dan akaun sosial media disekat (block).

“Tiada khabar berita daripada bekas suami. Oh ya, isteri pertama dia ada juga meracau dan hantar patung khinzir dekat rumah saya. Nafkah? Tak ada sama sekali. Malahan sewa rumah kami juga tertunggak tak berbayar. Sakit ini hanya Allah sahajalah yang tahu dan menjadi tempat mengadu. Tak boleh meluah dan menuntut.

“Saya hanya mampu berdiam diri dan pergi sejauh yang mungkin. Pasti sekarang ini bekas suami sedang perbaiki hubungan dengan isteri pertamanya dan lupa segala nafkah serta janjinya kepada saya. Allah Maha Besar, kifarah sentiasa ada. Doakanlah saya diringankan hati untuk menerima Qada’ dan Qadar ini.

“Keluarga yang dahulu saya abaikan, sekarang di kaki merekalah diri ini menyembah. Untuk kaum Adam, jangan menabur janji dan menduakan isteri yang sedia ada kalau tak mampu. Kifarah itu ada, jangan aniaya orang demi kepuasan sendiri. Untuk kaum Hawa, jangan jadi macam saya. Jangan pernah dekati suami orang.

“Jangan percaya dengan janji suami orang meskipun mereka bergelar Ustaz. Sebab bekas suami saya juga adalah seorang Ustaz dan bekerja sebagai tenaga pengajar. Terima kasih kerana sudi membaca kisah saya. Jangan bencikan saya ya.” Kongsi wanita terbabit menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Aku ingat aku paling disayangi oleh mak mertua, rupanya tidak, dia jadi batu api kepada sekalian umat manusia dalam family mertua”