Dah ada PADU tiba-tiba BUDI pula muncul? Ini apa yang anda perlu ambil tahu

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

BUDI Individu merupakan sumbangan tunai Kerajaan sebagai lanjutan program penyasaran subsidi diesel.

Program ini khusus untuk individu dari golongan bukan T20 yang memiliki kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia.

Permohonan dibuka mulai 28 Mei 2024 dan akan terus dibuka sepanjang tahun.

Namun, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk melayakkan pemohon menerima bantuan, antaranya:

Kriteria Pemohon:

Dah ada PADU tiba-tiba BUDI pula muncul? Ini apa yang anda perlu ambil tahu

1. Warganegara Malaysia.

2. Pendapatan tahunan individu atau pasangan tidak melebihi RM100,000 berdasarkan data LHDN.

3. Permohonan perlu dibuat secara dalam talian di laman web BUDI MADANI, iaitu https://budimadani.gov.my.

Kriteria Pemilikan Kenderaan:

1. Kenderaan kegunaan persendirian (diesel) individu.

2. Lesen kenderaan motor (cukai jalan kenderaan) masih aktif.

3. Kenderaan diesel diisytiharkan di Semenanjung Malaysia.

4. Berdaftar di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan nombor MyKad.

Terdapat juga kriteria tambahan yang tidak layak untuk menerima BUDI individu, antaranya:

1. Penggunaan motosikal diesel.

2. Kenderaan diesel persendirian berdaftar bagi kegunaan syarikat atau pertubuhan.

3. Kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun.

4. Kenderaan berdaftar sebagai e-hailing.

5. Jenis kenderaan tertentu seperti karavan motorhome, van persiaran, dan bas persiaran.

Cara permohonan BUDI Individu adalah melalui laman web https://budimadani.gov.my. Pemohon perlu membuat pendaftaran akaun pengguna, kemudian klik pada paparan “Mohon Di Sini” bagi BUDI individu. Setelah itu, pemohon perlu mengisi maklumat yang diperlukan termasuk maklumat kenderaan diesel.

Pemohon boleh menyemak status permohonan dengan menekan butang ‘Semak Status’ pada papan pemuka (dashboard) pemohon. Bagi permohonan yang diluluskan, bantuan pertama akan diterima menjelang pertengahan Jun 2024, dan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

Untuk pembayaran, RM200 akan dikreditkan ke akaun yang berdaftar dalam sistem BUDI MADANI. Bagi pemohon yang tiada akaun bank, pembayaran boleh diambil secara tunai di mana-mana Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Apabila Lesen Kenderaan Motor kenderaan tamat tempoh, pembayaran BUDI Individu akan terhenti sehingga pemohon memperbaharui lesen tersebut. Pemohon perlu mengemukakan permohonan baharu atau rayuan kepada portal BUDI.

Bagi maklumat lanjut atau pertanyaan, pemohon boleh menghubungi pusat panggilan BUDI atau mengemukakan emel kepada [email protected].

BACA: Mengeluh hospital kerajaan tiada layanan VIP, wanita Indonesia dikecam netizen