Ketika cakap-cakap berleluasa di media sosial tentang amalan mengisi minyak sehingga penuh tangki, kononnya ianya merupakan kerugian.
Mengikut spekulasi tersebut, mengisi minyak hingga penuh hanya akan menambah berat atau memberi bebanan tambahan
kepada kenderaan, yang pada gilirannya menyebabkan kereta ‘makan’ minyak lebih banyak.
Pendapat yang dipaparkan ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pemilik kereta.
Sebagai respons terhadap kontroversi ini, seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Automotif,
Dr. Ahmad Syahid Ahmad Fawzal (Aid Fawzal), telah memberikan penjelasan menerusi perkongsian di laman Facebook peribadinya.
Aid, yang juga merupakan seorang jurutera simulasi dan pakar dalam aliran bendalir serta pemindahan haba, menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah separuh benar.
Untuk memahami penjelasan ini secara lebih mendalam, Aid menguraikan nisbah berat petrol bagi tiga jenis kenderaan yang berbeza.
1. Perodua Myvi
Saiz tangki = 40 liter (L)
Ketumpatan petrol = ~740 kilogram per meter padu (kg/m³)
Maka berat tangki penuh berisi petrol = 30kg
Berat kereta = 950kg
Nisbah berat petrol terhadap berat kereta = 30/950 bersamaan ~3 peratus
2. Perodua Bezza
Saiz tangki = 36L bersamaan 27kg
Berat kereta = 940kg
Nisbah berat petrol terhadap berat kereta = 27/940 bersamaan ~3 peratus
3. Proton X70
Saiz tangki = 60L bersamaan 44kg
Berat kereta = 1675kg
Nisbah berat petrol terhadap berat kereta = ~3 peratus
Menurut Aid, apabila badan kenderaan menjadi lebih besar, ia juga menambah berat keseluruhan kereta.
Oleh itu, mengisi petrol penuh ke dalam tangki tidak akan menyebabkan penggunaan minyak yang berlebihan, berbanding dengan berat keseluruhan kenderaan.
Dalam hantaran beliau, Aid juga menyimpulkan bahawa tindakan mengisi minyak penuh tidak akan membawa kepada kerugian.
Ini kerana berat petrol penuh yang dimuatkan ke dalam tangki tidak signifikan jika dibandingkan dengan berat keseluruhan kereta.
Sebaliknya kerugian petrol boleh disebabkan empat faktor ini:
1. Simpan barang-barang berat yang tidak diperlukan dalam kereta.
2. Pandu secara melulu.
3. Pandu dalam kelajuan melampau.
4. Pasang bodykit yang tidak aerodinamik.