Seorang wanita merasa sangat terkongkong apabila insan bergelar kakak ipar sering berkunjung ke rumahnya tanpa mengira waktu.
Mencuba untuk memahami ekoran kakak iparnya belum berkahwin di usia 50 tahun, wanita itu bagaimanapun sudah mula merasa privasi rumah tangganya terganggu.
Bukan sahaja suka masuk campur di dalam membuat keputusan, kakak suaminya itu juga sentiasa mengikuti pergerakan keluarga mereka setiap kali keluar dari rumah.
Mahu mula menjauhkan diri daripada kakak ipar, berikut perkongsian wanita bernama Lulu yang semakin rimas dengan perangai saudara kandung kepada suaminya itu.
“Nama aku Lulu. Sudah berkahwin, ada anak. Nak dijadikan cerita, keluarga kecil kami diuji dari segi kewangan selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berakhir.
Semasa diuji, datanglah kakak ipar iaitu kakak kepada suami yang menolong kami dari segi kewangan. Dia wanita bujang yang berumur hampir 50 tahun.
“Kakak ipar duduk bersedirian tetapi berhampiran taman perumahan kami. Namun sejak dia banyak membantu, aku dah keluarga kecil jadi semakin tersepit. Sebabnya, jika ada pergerakan atau aktiviti kami sekeluarga, dia perlu (sudah macam wajib sebenarnya) diberitahu.
“Nak bergerak kemana-mana mesti kami kena pelawa atau memberitahu kakak ipar terlebih dahulu. Tak kiralah hanya nak pergi beli barang dapur, hendak pergi makan atau nak bawa anak-anak. Kami seperti dipaksa beritahu atau mengajaknya kerana takut kemudian hari nanti akan ditanya (dipersoalkan).
“Nanti kakak ipar tanyalah kenapa tak ajak dia dengan air muka tak senang. Kadang aku perasan, bila ada apa-apa yang kakak ipar tak puas hati, dia akan diam lama. Mungkin kecil hati kami terlupa nak ajak atau tanya dia dahulu sebelum keluar. Itu belum lagi bab yang dia suka datang rumah kami.
“Seminggu dua ke tiga kali kakak ipar bertandang di rumah sampai malam hari. Aku juga yang perlu melayan makan minum selagi dia tidak balik. Disebabkan kakak ipar jenis suka datang bertandang tak kira masa, jadinya aku selalu kena masak lebih. Sebab takut kalau tiba-tiba dia datang nanti tiada apa makanan yang nak dihidang.
“Tetapi itulah, kalau kakak ipar datang, makanan habis. Kalau tak, membazir jadinya. Setiap kali masak pula, aku kena ikut menu kakak ipar. Sebab dia jenis banyak benda tak suka atau tak makan. Setiap kali hari cuti (diulang, setiap kali hari cuti) pula mesti dia akan bertanya atau menelefon untuk bertanya ke mana kami pergi.
“Jika kami duduk di rumah sahaja, kakak ipar akan ajak pergi jalan-jalan kemana sahaja dia nak pergi. Dengan alasan dia akan mengeluarkan belanja semuanya. Nak tak nak, kami terpaksa juga mengikutnya sebab takut dia berkecil hati. Sebelum kami, ada adik (adik perempuan suami) seorang lagi yang kakak ipar layan begitu.
“Jadi boleh nampak sekarang adik dia sendiri dan sekeluarga selalu melarikan diri (lagi-lagi bila hari cuti). Supaya tak perlu melayan kehendak kakak mereka. Sebab itu kakak ipar kadang-kadang terluah kata, ‘masa susah dulu siapalah yang banyak tolong’. Merujuk kepada dirinya yang banyak menolong adiknya dahulu.
“Untuk pengetahuan semua, kakak ipar aku baik. Sejenis tak berkira. Cuma kadang-kadang dia ada emosi yang kita perlu ikut. Tetapi aku perasan, kakak ipar jenis tak memahami privasi hidup masing-masing. Aku pula tak sampai hati menolak sebab dia sudah banyak menolong kami.
“Tetapi pada masa yang sama aku juga tertekan kerana kakak ipar suka melekat. Aku juga penat kerana setiap kali hari cuti, mesti dia mengajak keluar berjalan. Nak menolak nanti dikatakan tak kenang budi dan tak menghargai pula. Percayalah, aku faham mungkin kakak ipar jadi macam ini disebabkan dia kesunyian.
“Namun aku juga perlukan masa untuk keluarga kecil kami sendiri. Dua minggu lepas pun kami sudah menolak pelawaan dia ajak keluar pada hari cuti (dua hari berturut-turut). Sekarang, dia dah senyap tak datang rumah kami dekat dua minggu. Aku sudah buat keputusan untuk mula mengabaikan kakak ipar.
“Tetapi itulah, selama ini aku tak suka perasaan bila diendahkan orang. Sekarang ini aku pula yang buat. Mesti nanti aku akan rasa bersalah sangat-sangat. Jadi apa pendapat anda semua?.” Soal Lulu dalam perkongsian yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.