Seorang remaja yang hilang selama 25 tahun semasa perang saudara di Algeria dalam tahun 1990-an akhirnya ditemui semula, lapor Perbadanan Penyiaran Britain kelmarin.
Remaja yang dikenali sebagai Omar bin Omran itu dilaporkan hilang di Djelfa semasa beliau masih remaja lewat belasan tahun.
Setelah tempoh yang panjang, mangsa yang kini berusia 45 tahun itu ditemui hanya dalam jarak 200 meter dari kediamannya semasa kecil.
Pihak polis telah mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 61 tahun yang disyaki menyekap Omar di rumahnya.
Semasa kehilangannya, keluarga Omar bimbang bahawa beliau mungkin menjadi antara ribuan mangsa yang terbunuh atau diculik semasa perang saudara tersebut.
Namun, beliau ditemui di dalam sebuah kandang biri-biri yang tersembunyi di belakang jerami di rumah penculiknya pada 12 Mei lalu.
Pejabat pendakwa raya menerima aduan daripada individu yang tidak dikenali tentang keberadaan Omar di rumah salah seorang jiran mereka, kata seorang pegawai mahkamah.
“Berikutan laporan tersebut, pendakwa raya memerintahkan siasatan dibuka dan pasukan polis menyerbu rumah suspek. Mereka kemudian menjumpai Omar,” tambahnya.
Mangsa mendakwa bahawa beliau tidak dapat menjerit atau melarikan diri kerana disihir oleh penculiknya.