Biasanya, pemandu akan mengelakkan untuk meletakkan kereta mereka di kawasan bawah pokok.
Pada hari yang salah, kereta yang diparkir di bawah pokok mungkin akan ditutup dengan tompokan tahi burung yang busuk dan menjijikkan.
Menurut Facebook Armada Autowork, jika tahi burung tidak dibersihkan dengan cepat, ia akan mengeras dan boleh merosakkan cat kereta.
“Di Malaysia, agak sukar untuk mengelakkan kereta daripada terkena tahi burung. Tahi burung mempunyai sifat asidik dengan pH antara 3-4.5 dan mempunyai lapisan lakuer yang mengeras di sekeliling najis burung.
“Apabila najis burung tidak dibersihkan dan mengeras pada kereta, ia akan mula menghakis lapisan pelindung cat kereta,” kata pengendali Facebook itu.
Jika dibiarkan, tahi burung akan meresap dan menyerap ke dalam cat kereta.
Ini boleh membuatkan cat kereta kelihatan kusam dan tidak berkilau.
Armada Autowork menasihatkan agar tahi burung yang telah mengeras perlu dilembutkan terlebih dahulu sebelum dibasuh seperti biasa.
“Jika kereta anda terkena najis burung, segera cuci. Jika najis itu telah mengeras, siram dengan air terlebih dahulu dan biarkan ia lembut selama empat hingga enam minit.
“Kemudian, gosok perlahan-lahan dengan menggunakan kain yang sesuai. Jangan gosok terlalu kuat kerana boleh menyebabkan calar pada kereta anda,” tambahnya.
Jika tidak berjaya dibersihkan, pemilik boleh membawa kereta mereka ke kedai untuk dilakukan pengekilatan.
Atau jika ingin menjimatkan kos, anda juga boleh melakukan proses tersebut sendiri.