Meskipun kedengaran agak mustahil, namun tahukah anda bayi yang baru sahaja dilahirkan sebenarnya boleh mengeluarkan darah haid?
Bukanlah perkara yang luar biasa, ibu bapa ‘baharu’ tidak perlu merasa risau kerana keadaan ini sangatlah normal dan sering terjadi kepada bayi berjantina perempuan.
Ditujukan buat ibu bapa yang tidak mempunyai pengalaman, berikut kami kongsikan enam perkara pelik lain bakal terjadi kepada anak yang baru dilahirkan.
1. Kesan darah pada lampin bayi
Fenomena pendarahan pada faraj bayi perempuan yang baru lahir hanya akan berlaku di dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Boleh terjadi seawal usia bayi dua atau tiga hari, keadaan ini berpunca daripada perubahan faktor hormon ibu, seperti estrogen dan progesteron.
Kesan darah pada lampin juga boleh berlaku pada bayi lelaki yang mempunyai luka pada dubur disebabkan oleh pergerakan usus yang kasar.
Pendarahan juga boleh terjadi kepada bayi yang baru lepas disunatkan atau anak yang mengalami ruam lampin.
Bagi kedua situasi ini, ibu bapa perlu menukar lampin dengan sangat berhati-hati supaya bayi anda tidak mengalami pendarahan.
2. Kulit kepala bayi berkerak
Kulit kepala bayi yang berkerak atau bersisik ini dipanggil cradle cap di mana kesan tompok itu terkadang terasa agak berminyak.
Langsung tidak sakit mahupun gatal, kulit kepala bayi hanya akan kelihatan sedikit kotor. Justeru itu, ibu bapa boleh membotakkan kepala anak.
3. Timbul bintik putih di muka
Kebiasaannya, bintik atau tompokan halus berwarna putih ini akan muncul pada muka terutamanya di sekitar hidung dan mata bayi yang baru lahir.
Kelihatan seperti kulit yang menggelupas, keadaan ini akan hilang dengan sendirinya dalam tempoh empat minggu.
4. Tompok di badan kelihatan seperti lebam
Kesan yang tampak seperti lebam ini dikenali sebagai tompok mongolia yang biasa muncul pada badan bayi yang baru lahir.
Tidak membawa kesakitan pada bayi, tanda lahir ini akan muncul di sekitar belakang tubuh badan, bahagian punggung dan juga bahu anak.
5. Badan bayi yang berbulu
Bulu halus yang tumbuh di tubuh ini berfungsi untuk mengekalkan suhu bayi ketika di dalam rahim sebelum adanya lemak badan.
Selalunya, bulu tersebut akan gugur dengan sendiri pada minggu terakhir kehamilan atau beberapa minggu selepas bayi lahir.
6. Najis pertama bayi berwarna hitam
Berada di tahap kesihatan yang baik, ibu bapa tidak perlu khuatir sekiranya bayi mengeluarkan najis pertama yang berwarna hitam.
Dikenali sebagai meconium, najis ini terhasil daripada bahan yang ditelan bayi semasa berada di dalam rahim seperti sel kulit, mukus atau cecair amnion.
Tular di media sosial, pengetuan asas ini dikongsikan oleh seorang ibu menerusi satu hantaran tular di platform media sosial X melalui akaun miliknya iaitu @ezzahnor.