Seorang wanita Thailand telah pulang dari Taiwan ke negara asalnya untuk membalas dendam terhadap suaminya yang berselingkuh dengan wanita simpanan, melaporkan laman berita Thaiger semalam.
Dia menikam mereka berdua menggunakan sebilah pisau di sebuah hotel di wilayah Roi Et, Isaan.
Anggota polis dari Balai Polis Mueang Roi Et dan pasukan penyelamat bergegas ke hotel itu pada pukul 3 pagi semalam setelah menerima laporan mengenai kejadian itu.
Apabila tiba di lokasi, polis menemui dua mangsa yang cedera, seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita berumur antara 25 hingga 30 tahun. Tempat kejadian berlumuran darah seperti dalam filem seram.
Mangsa wanita mengalami luka di belakang badan, manakala suami cedera pada bahu dan pinggang. Pasukan penyelamat memberikan pertolongan cemas sebelum membawa mereka ke Hospital Roi Et.
Wanita itu berada di tempat kejadian sambil menangis. Dia mengaku sebagai penyerang dan mangsa merupakan suaminya serta perempuan simpanan lelaki berkenaan.
Menurut saluran televisyen Channel 3, lelaki terbabit dan isterinya mempunyai tiga orang anak. Si isteri bekerja di Taiwan, manakala suaminya bekerja sebagai pemandu penghantaran bungkusan di Roi Et.
Wanita itu mengetahui tentang perselingkuhan suaminya melalui rakan-rakan. Selepas membuat siasatan, dia mendapati mereka bertemu di sebuah hotel pada malam 20 Mac lalu.
Si isteri kemudian menempah tiket penerbangan dari Taiwan ke Roi Et. Setibanya di lapangan terbang, wanita itu terus menuju ke hotel tersebut.
Dia mendapati kedua-dua mereka berada di dalam bilik sebelum hilang kawalan dan menyerang mangsa dengan pisau.
Senjata itu ditemui di luar bilik hotel.
Sementara itu, ramai netizen wanita membanjiri ruangan komen berita kes terbabit dan memberikan kata-kata semangat kepada suspek.
Penerbangan dari Taiwan ke Roi Et berharga lebih 10,000 baht (RM1,310), iaitu dua kali ganda harga tempahan awal.