Bulan puasa merupakan masa di mana bazar Ramadan berkembang seperti cendawan selepas hujan.
Fenomena ini tidak hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga merupakan sebahagian daripada budaya di Singapura.
Geylang Serai dikenali sebagai bazar Ramadan utama di Singapura, tetapi terdapat juga bazar berskala lebih kecil di kawasan kejiranan yang berbeza.
Namun, satu perkara yang tidak menyenangkan, Singapura kini dikejutkan dengan adanya bazar Ramadan yang menjual barang haram untuk dimakan oleh umat Islam, iaitu daging babi.
Menurut laporan Coconut Singapura, para pengunjung biasanya pergi ke bazar Ramadan untuk membeli makanan yang diketahui umum adalah halal.
Namun, baru-baru ini, di Bazar Raya Utara di Marsiling, diketahui terdapat gerai yang menjual daging babi.
Dalam catatan di halaman rasmi kejiranan, jawatankuasa tersebut menulis, “Pejabat Kawasan Pilihan Raya Marsiling mendapati hujung minggu lalu terdapat ketidakpatuhan di Bazar Raya Utara kami di mana gerai menjual daging babi termasuk dalam kalangan penjual.”
“Penganjur telah berhubung dengan pengendali dan telah mengambil langkah pembetulan segera untuk menghentikan penjualan daging babi.”
Kenyataan itu diakhiri dengan, “Akhir sekali, kami ingin memberi jaminan kepada semua penduduk dan pengunjung bahawa kami akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan pengalaman Ramadan yang terbaik, ini termasuk persembahan pada hujung minggu dan juga juadah halal untuk umat Islam.”
Kenyataan tersebut tidak mendapat sambutan yang baik dari orang ramai, bahkan mendapat kecaman.
Sebahagian netizen merasakan bahawa jawatankuasa kurang sensitif terhadap umat Islam kerana bazar tersebut dipromosikan sebagai bazar Ramadan.
Bagaimanapun, kebanyakan netizen menggesa agar bazar tersebut tidak dinamakan sebagai bazar Ramadan, tetapi sebagai ‘pasar malam’ untuk memberi peluang kepada gerai-gerai lain untuk berniaga.