Individu berjaya jual RM1 dengan harga RM1000, puas hati dapat tahu kenapa

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Siapa sangka wang kertas RM1 yang masih boleh digunakan dalam pasaran mampu memberi nilai berlipat ganda.

Banyak yang tertanya-tanya mengenai keistimewaan wang kertas RM1 milik seorang pemuda ini

sehingga ia dibeli pada harga RM1,000 oleh seorang pengumpul wang lama, baru-baru ini.

Individu berjaya jual RM1 dengan harga RM1000, puas hati dapat tahu kenapa

Perkongsian video mengenai seorang pemuda yang menerima RM1,000 selepas menjual wang kertas RM1 menjadi viral sehingga melebihi 3.4 juta tontonan di TikTok.

Berkongsi cerita kepada mStar, pengumpul wang lama yang lebih dikenali sebagai Ah Kai berkata, wang lama merupakan sebahagian daripada bisnesnya dan juga adalah hobinya sejak dulu.

Wang kertas RM1 dengan nombor siri 8 menjadi perhatian.

“Saya suka mengumpul duit Malaysia dan Malaya kerana saya sangat cintakan negara ini dan suka dengan sejarah Malaysia.

“Hobi ini bermula sejak saya kecil, tetapi saya serius dalam bisnes ini bermula tahun 2012,” kata pemuda yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang ini.

Ah Kai yang berusia 31 tahun menjelaskan bahawa RM1 yang masih digunakan sekarang tidak begitu istimewa kerana wang kertas yang ditandatangani oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz masih terlalu banyak.

“Tetapi dalam video ini, duit tersebut bernilai tinggi kerana semua nombor sirinya sama iaitu lapan, dan saya suka. Oleh itu, saya beli dengan harga yang tinggi.

“Saya tawar harga dan dia bersetuju dan sangat gembira kerana kedai lain hanya mampu membayar antara RM300 hingga RM700. Tetapi saya bayar RM1,000,” katanya.

Ah Kai kemudiannya menyerahkan sejumlah wang kepada pemilik wang kertas RM1 tersebut.

Mengulas lanjut, Ah Kai menerangkan, nombor siri lapan tersebut bukan sahaja dianggap bertuah, malah ia merupakan antara pilihan nombornya.

“Semua nombor yang sama sangat sukar didapati dan menjadi rebutan ramai pengumpul wang. Inilah yang kita sebut nombor ‘solid’.

“Saya mempunyai banyak koleksi nombor ‘solid’. Saya mengumpul nombor siri satu, tiga, tujuh, lapan dan sembilan. Nombor lapan ini seperti membawa kemakmuran bagi orang Cina,” ujarnya sambil menambah keluarganya mengusahakan bisnes pakaian dan mempunyai kilang sendiri.

Baru-baru ini, Ah Kai menerima gambar wang kertas RM1 dengan nombor siri lapan menerusi WhatsApp daripada seorang pemuda sebelum mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur.

“Saya memandu dari Pulau Pinang untuk berjumpa dengannya, dan bertemu beberapa pelanggan pada hari tersebut. Selepas itu, saya pulang semula ke Pulau Pinang,” katanya.

Antara wang kertas yang menjadi rebutan pengumpul wang lama.

Bagi pemuda ini, dia menganggap satu kepuasan setiap kali melakukan urus niaga dan mendapatkan wang kertas lama yang menjadi pilihannya.

Setakat ini, Ah Kai mempunyai koleksi hampir 500 keping wang kertas Malaysia dan Malaya, termasuk beberapa negara lain seperti Singapura dan China.

“Saya juga menjual wang lama kepada ahli kumpulan yang mempunyai minat yang sama, kadang-kadang kami bertukar barang jika saya mempunyai lebihan dan dapatkan yang belum ada.

“Sangat gembira apabila mendapatkan barang yang diinginkan dengan harga yang berpatutan,” katanya lagi.

BACA: “Dah 4 tahun pjj, whatsapp isteri pun aku malas nak balas, tak sangka selama pjj, ini dia buat belakang aku!”