Pernah tak terfikir? Boleh ke lelaki bujang ambil anak angkat perempuan, ini jawapan Mufti

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Isu mengenai anak angkat bukanlah perkara asing di kalangan masyarakat Malaysia. Ini disebabkan oleh trend pengambilan anak angkat yang berlaku sejak beberapa dekad yang lalu.

Namun begitu, terdapat beberapa aspek undang-undang berkaitan dengan anak angkat yang memerlukan penjelasan yang tepat dan sahih.

Secara umumnya, anak angkat merujuk kepada seorang anak yang bukan terhasil dari nasab keturunan seseorang individu itu sendiri.

Pernah tak terfikir? Boleh ke lelaki bujang ambil anak angkat perempuan, ini jawapan Mufti

Mereka dianggap anak kepada orang lain tetapi diambil sebagai anak angkat atas beberapa sebab tertentu, contohnya pasangan yang sudah lama berkahwin tetapi tidak diberikan cahaya mata.

Dari segi undang-undang tempatan, Malaysia secara umumnya membenarkan pengambilan anak angkat seperti yang dinyatakan dalam Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253).

Salah satu isu penting berkaitan dengan pengambilan anak angkat adalah mengenai batasan pergaulan dan hubungan ketika anak tersebut mencapai usia baligh. Ini termasuklah hubungan antara anak angkat perempuan dengan bapa angkat dan juga anak angkat lelaki dengan ibu angkat.

Anak angkat yang telah mencapai usia baligh dianggap sebagai ajnabi kepada ibu bapa angkat mereka kerana mereka tidak mempunyai hubungan nasab dengan mereka.

Dalam konteks ini, adalah penting untuk memahami definisi mahram. Mahram hanya berlaku menerusi tiga perkara iaitu nasab, susuan, dan juga musaharah. Justeru, individu yang tidak mempunyai hubungan menerusi ketiga sebab ini adalah bukan mahram bagi seseorang dan ini membawa kepada banyak implikasi hukum.

Oleh itu, apabila anak angkat mencapai usia baligh, terdapat beberapa implikasi hubungan dengan ibu bapa angkat mereka.

Pertama, anak angkat perempuan perlu menutup auratnya kecuali muka dan tapak tangan di hadapan bapa angkat. Kedua, dia tidak dibenarkan bersentuhan kulit dengan bapa angkatnya.

Ketiga, mereka juga tidak dibenarkan berduaan di tempat tertutup tanpa mahram bagi lelaki atau dirinya sendiri. Keadaan ini juga berlaku jika anak angkat itu lelaki dengan ibu angkatnya.

Baru-baru ini, tindakan seorang selebriti lelaki bujang yang mengambil anak angkat perempuan menimbulkan kontroversi kerana didakwa menyalahi undang-undang.

Pengasas Persatuan Kebajikan Anak Kami, Siti Nursuraya Ali, telah membuat laporan berhubung perkara ini. Beliau menyatakan bahawa undang-undang Malaysia tidak membenarkan tindakan tersebut atas faktor keselamatan.

Siti Nursuraya juga mendedahkan bahawa terdapat selebriti yang menggunakan anak angkat mereka untuk tujuan peribadi dan populariti. Beliau mengungkapkan perkara ini selepas diundang ke stesen radio Kool101 oleh penyampai Haiza dan Muaz.

BACA: “Saat suami nazak, aku bisik hutangnya dah langsai, dia sempat mengalirkan air mata, aku nampak wajahnya tenang saat nyawanya ditarik”