Lampu minyak nak habis dah menyala, ini cara kira baki minyak dalam tangki

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Setiap kenderaan di atas jalan raya menggunakan petrol sebagai bahan bakar untuk bergerak kecuali kereta elektrik atau EV.

Disebabkan itu, setiap kenderaan mempunyai indikator minyak untuk memantau paras minyak dalam tangki kereta.

Jika paras minyak berada pada paras rendah (hampir habis), simbol petrol akan berkelip atau menyala sebagai tanda memberi amaran kepada pemandu.

Lampu minyak nak habis dah menyala, ini cara kira baki minyak dalam tangki

Namun, tahukah anda berapa jauhkah kereta dapat bertahan ketika simbol ini berkelip-kelip sebelum sempat mengisi minyak di stesen minyak berdekatan?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian Pandu Laju di bawah.

Cara Kira Baki Petrol Dalam Tangki

Menurut Pandu Laju, cara yang tepat untuk mengukur berapa jauh kereta anda mampu bergerak adalah dengan mengisi tangki minyak hingga penuh dan menggunakannya sehingga habis.

Misalnya, jika tangki minyak kereta adalah 60 liter(L) maka anda perlu mengisi minyak dengan kapasiti yang sama.

Pun begitu, langkah berkenaan agak keterlaluan kerana dilakukan semata-mata mahu mengetahui baki minyak kereta anda.

Sebenarnya, terdapat langkah yang lebih efisien dan selamat serta hampir tepat bagi menentukan jarak kenderaan bersamaan jumlah liter minyak.

Berikut beberapa langkah untuk mengetahui jarak kereta anda dengan jumlah minyak di bawah:

Ketahui Kapasiti Tangki Mengikut Spesifikasi Rasmi

Perkara pertama yang anda perlu tahu mengenai isu ini adalah kapasiti tangki minyak petrol kereta anda. Barulah anda dapat membuat kiraan dengan tepat.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Pandu Laju menggunakan kereta jenis Perodua Myvi yang mempunyai kapasiti tangki 40 liter.

Jumlah Bar Untuk Minyak Penuh

Langkah kedua, anda perlu mengetahui jumlah bar minyak kereta anda penuh dengan cara mengisi minyak kereta sehingga penuh. Bagaimana nak tahu tangki minyak penuh?

Jika nozel minyak ‘tendang’ tiga kali, itu bermakna anda sudah boleh berhenti mengisi minyak.

Seterusnya, apa yang perlu anda lakukan adalah menetapkan semula jarak perjalanan kepada 0.0 kilometer (km) atau lebih dikenali sebagai Trip A to Trip B.

Bagi indikator minyak Myvi, ia mempunyai lapan bar untuk penuh, tidak seperti Proton Saga pula membahagikan bar minyak kepada enam bar. Perkara ini menunjukkan bahawa setiap jenis kereta mempunyai indikator bar minyak yang berbeza.

Pandu Hingga Indikator Minyak Berkelip

Apabila sedang memandu, jangan panik sekiranya lampu minyak berkelip atau menyala kerana tujuan eksperimen ini adalah untuk mengetahui sejauh mana jarak kenderaan anda mampu bergerak.

Pun begitu, pastikan lampu minyak kereta tidak menyala dalam tempoh yang lama.

Rekod Jarak (Mileage)

Ketika simbol lampu minyak mula berkelip, apa yang perlu anda lakukan adalah mula merekodkan jumlah jarak perjalanan.

Sebagai contoh, sepanjang anda mengisi minyak penuh, kereta Myvi mencatatkan jarak 350km (sebaik sahaja lampu minyak berkelip).

Cari Stesen Minyak Berhampiran dan Isi Hingga Penuh

Selepas itu, cari stesen minyak berhampiran dan isi minyak hingga penuh sama seperti langkah awal, iaitu nozel minyak ‘tendang’ sebanyak tiga kali.

Pastikan jumlah liter minyak diisi dalam angka genap dan bukannya perpuluhan seperti 10.135 liter atau 13.476 liter bagi memudahkan proses pengiraan. (Jangan biarkan minyak melimpah keluar).

Rekod Bacaan Liter Minyak

Sebagai contoh, jumlah minyak yang diisi (nozel minyak sudah tendang tiga kali) adalah berjumlah 32 liter.

Ini bermakna, baki minyak dalam tangki adalah sebanyak 8 liter (jumlah penuh tangki 40 liter).

Dalam bahasa yang mudah, kiraan minyak berdasarkan kapasiti tangki (liter) – jumlah liter minyak yang diisi selepas lampu minyak berkelip.

Baki penolakan adalah minyak yang masih terdapat dalam tangki minyak kereta, 40 liter tolak 32 liter bersamaan dengan 8 liter.

Sekiranya harga minyak adalah RM2.05 per liter, harga bagi 32 liter minyak adalah RM65.60 liter.

Berapa Jauh Kereta Boleh Bergerak Dengan Baki Minyak Yang Ada Dalam Tangki Simpanan?

Tentu ramai yang ingin mengetahui bahagian ini kan? Lebih-lebih lagi memandu dalam keadaan simbol minyak berkelip membuatkan kita ‘tidak senang duduk’ kerana bimbang kereta kehabisan bahan api.

Caranya mudah sahaja, bahagikan jarak perjalanan awal 350km dengan jumlah indikator bar sebaik sahaja lampu minyak berkelip. Misalnya, kenderaan Myvi mempunyai 8 bar dan lampu menyala pada bar ketujuh.

Jadi anda perlu membahagikan jarak 350km dengan 7 bar untuk mendapatkan jumlah jarak tempuh bagi setiap satu bar.

350km/7 bar = 50km (Myvi).

Oleh itu, bar kelapan membolehkan kereta Myvi bergerak sejauh 50km lagi sewaktu lampu minyak berkelip. Cara sama juga boleh digunakan untuk motosikal.

BACA: ‘Tak puas hati datang management bukan menyalak dalam ni’, pemuda ‘review’ surau kotor dikecam