Selepas kerajaan langit Ayah Pin, ‘Kerajaan 9’ Mawla Amin pula bakal wujud

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Hari ini, Harian Metro melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengawasi aktiviti seorang lelaki yang mendakwa sebagai warganegara Maghribi

Dikenali sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’, yang mengklaim sebagai keturunan ke-38 Nabi Muhammad S.A.W. menurut pengikutnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengatakan bahawa PDRM sedang memantau pergerakan Mawla Amin dan pengikutnya,

Selepas kerajaan langit Ayah Pin, 'Kerajaan 9' Mawla Amin pula bakal wujud

termasuk sebuah madrasah di Selangor yang dikatakan terlibat dalam mengumpul dana awam secara tidak sah bagi mempromosikan Mawla Amin.

Menurutnya, maklumat yang diterima menunjukkan bahawa mereka juga telah membeli sebidang tanah seluas kira-kira 11 hektar.

“Kita memantau pergerakan Mawla Amin bersama pengikutnya. Madrasah yang terlibat didakwa telah membeli tanah di Melaka dengan dana dari pengikutnya dan orang awam untuk membina perkampungan yang dinamakan ‘Kerajaan 9’, yang dikatakan sebagai persiapan akhir zaman bagi pengikut Mawla Amin,” katanya kepada Harian Metro.

Perkampungan tersebut dilaporkan akan menjadi tempat tinggal individu dari luar yang diangkat sebagai Imam Mahdi.

Tanah yang baru dibeli itu dilaporkan milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka.

Madrasah tersebut juga terlibat dalam pelbagai kes salah laku, termasuk pemukulan pelajar oleh mudirnya, penahanan makanan, dan memaksa pelajar tidur dalam tandas.

Di samping itu, Harian Metro juga melaporkan Ketua Zawiyah al-Wazaniyah di Maghribi, Sharif Wazani Tayeb, menafikan mengenali Mawla Amin.

“Dia (Mohamed Amin Ouradj yang juga dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani) bukan dari keluarga kami (Keluarga Wazani, Ahlul Bait), saya tidak kenal dia, saya bukan pak cik dia,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa lelaki tersebut melakukan penipuan dengan mengaku sebagai keturunan Wazani.

BACA: “Masaklah banyak mana pun, kalau kau depan aku, tak selera juga. cuba kau cerminkan diri kau, tak lawa dengan mekap tak jadi, bini orang elok je”