Bagi pekerja yang melakukan kerja berat, minuman isotonik atau minuman bertenaga sering menjadi pilihan untuk membantu menyempurnakan tugas mereka dengan baik.
Minuman-minuman ini biasanya mengandungi kadar gula yang tinggi untuk memberi tenaga kepada pengguna.
Selain daripada minuman tersebut, terdapat satu lagi jenis minuman yang dikatakan dapat memberikan tenaga kepada mereka yang meminumnya.
Minuman tersebut ialah air ketum, yang dihasilkan daripada tanaman daun ketum yang diproses menjadi minuman.
Walau bagaimanapun, adakah air ketum ini selamat diambil secara berterusan dan apakah kesan yang akan dialami oleh tubuh badan?
Untuk mengetahui jawapannya, mari kita ikuti perkongsian daripada Hello Doktor tentang kebaikan dan keburukan air ketum.
Air ketum dianggap sebagai minuman yang ‘ajaib’ kerana dikatakan dapat memberikan tenaga dan motivasi kepada tubuh badan untuk bekerja.
Di Malaysia, minuman yang diperoleh daripada tumbuhan daun ketum ini sangat popular walaupun ia diharamkan untuk dikonsumsi.
Kita boleh menyamakan daun ketum dengan daun ganja di mana walaupun ia dipercayai mempunyai manfaat, ia diharamkan di sesetengah tempat.
Apa itu air ketum?
Untuk pengetahuan anda, ketum (Mitragyna speciosa) adalah sejenis tumbuhan yang banyak wujud di benua Asia Selatan termasuklah Malaysia.
Ekstrak daripada daun ketum ini seringkali dijadikan sebagai stimulan atau sedatif yang kononnya mampu memberi tenaga dan motivasi kepada pengguna.
Jika anda masih belum tahu, air ketum ini diharamkan untuk digunakan di negara kita, Thailand, Australia serta beberapa negara di benua Eropah.
Pun begitu, minuman yang berasal daripada tumbuhan ketum ini tiada masalah untuk digunakan sebagai ubat alternatif di negara seperti Amerika Syarikat.
Dalam erti kata yang lebih mudah, ada negara yang mengharamkannya serta ada juga yang membenarkannya bergantung kepada undang-undang mereka.
Apa yang mungkin akan membuat kita semua terfikir dan tertanya adalah, adakah wujud sebarang manfaat pengambilan air ketum terhadap kesihatan?
Apa manfaat air ketum?
Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, ada individu yang mengambilnya dalam usaha mendapatkan lebih tenaga dan motivasi kepada tubuh badan.
Mungkin ia benar kerana pada dos yang rendah, minuman ketum memang mampu berfungsi sebagai stimulan atau sedatif untuk merangsang tubuh badan manusia.
Hasilnya, ia mungkin akan mampu membuat pengambil minuman daripada tumbuhan ini lebih cergas, kuat dan berasa lebih baik dari aspek fizikal serta mental.
Menurut kajian European Monitoring Centre for Drugs and Drug Addiction (EMCDDA), dos kecil minuman ketum mungkin mampu memberikan kesan positif seperti berikut:
Kepekaan
Ketenangan
Kecergasan
Kekuatan
Selain daripada 4 aspek di atas, ia juga dipercayai mampu merawat sakit seperti sengal otot, lemah sendi, kepenatan, kegelisahan serta pelbagai keadaan kesihatan lain.
Ia mungkin adalah disebabkan oleh kandungan alkaloids mitragynine and 7-hydroxymitragyni di dalamnya yang mampu merangsang fungsi tubuh badan.
Pun begitu, sudah pasti ada sebab yang tersembunyi ekoran pengharaman minuman tumbuhan ini di sesetengah negara bukan? Jom teruskan membaca untuk tahu!
Kenapa ia diharamkan di banyak negara?
Ada dalam kalangan pengguna minuman ketum menyangka bahawa pengambilannya adalah tidak salah ekoran ia merupakan sejenis tumbuhan yang biasa ditanam.
Hakikatnya, kerajaan negara kita serta beberapa negara lain mungkin tidak bersetuju dengannya kerana masih belum banyak kajian yang mengesahkan manfaatnya.
Dalam pada itu, pelbagai kajian terkini telah mengesahkan bahawa lebih banyak kontra berbanding pro mengambilnya jika dilihat pada sudut kesan sampingannya.
Antara kesan sampingan yang mungkin boleh terjadi akibat minuman daun ketum ini termasuklah:
Kesan pada fizikal
Penurunan berat badan secara mendadak
Hilang selera makan
Badan menggigil
Badan berpeluh
Kering mulut
Mual-mual
Muntah-muntah
Sistem perkumuhan terjejas
Sakit tubuh badan
Rosak organ hati
Kesan minuman ketum pada mental
Sakit kepala
Mabuk, khayal atau tidak keruan
Perubahan mood
Berhalusinasi
Berdelusi
Stres
Depresi
Lebih membimbangkan, minuman daripada tumbuhan daun ketum ini dikhuatiri mampu menyebabkan masalah lebih besar jika diambil dalam dos yang terlalu banyak.
Antara kesan sampingan yang paling ditakuti adalah kemungkinan pengguna mengalami sawan, koma atau lebih teruk lagi, meninggal dunia.
Wajar untuk teruskan atau hentikan?
Malangnya, masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang percaya dan minum ketum terutamanya mereka yang masih kurang pengetahuan tentangnya.
Ini juga mungkin disebabkan ketagihan ataupun keperluan mereka mengambilnya untuk memenuhi kemahuan tubuh badan pengguna yang sudah terbiasa meneguk minuman ini.
Sebenarnya, wujud juga kemungkinan di mana kecergasan serta kekuatan yang didapati selepas minum ketum adalah didalangi oleh efek plasebo sahaja.
Konklusinya, adalah sangat disarankan untuk anda mengelakkan daripada mengambil minuman jenis ini kerana ternyata lebih banyak kontra daripada pro terhadap tubuh badan.