Kongsian klip video yang menunjukkan ayat ruqyah dalam pek telah mencetuskan berbagai reaksi dan perdebatan di kalangan pengguna media sosial.
Banyak netizen merasakan tindakan tersebut tidak sah dari segi undang-undang dan bertentangan dengan ajaran agama
kerana kelihatan seolah-olah menggunakan ayat Al-Quran dengan cara yang tidak benar.
Dalam video yang dikongsikan di TikTok, terlihat ayat ruqyah tersebut berada dalam pek plastik sebelum dikeluarkan dan kemudian dimasukkan ke dalam segelas air yang dikacau untuk larutkan ayat tersebut.
Makin rosak agama, kali ni ayat ruqyah pula dijual dalam pek
Bagaimanapun, tujuan sebenar larutan air tersebut dan samada pek ayat ruqyah tersebut benar-benar dijual di pasaran masih menjadi tanda tanya.
Menanggapi isu ini, Ustaz Syawal Ruqyah Isra memberikan pandangan dari perspektif hukum terhadap tindakan tersebut.
Menurutnya, terdapat perbezaan pendapat dalam kitab-kitab tibb dan fiqh pengubatan mengenai penggunaan ayat-ayat Al-Quran yang ditulis di atas pinggan dan dilarutkan dalam air untuk diberikan kepada pesakit.
Bagi pandangan yang dibenarkan, dakwat yang digunakan untuk menulis ayat-ayat tersebut perlu halal (mendapat pengiktirafan JAKIM), boleh dimakan atau diminum tanpa membahayakan.
Bagaimanapun, pendapat yang keras mengatakan tindakan tersebut makruh kerana tidak ada asas dalil yang kukuh dan boleh dianggap sama dengan amalan dukun dan pawang.
Keberadaan produk ruqyah dalam bentuk ‘paper’ ini menjadi bimbang jika ia diperdagangkan secara meluas tanpa kawalan, kerana ia boleh menimbulkan stigma terhadap perawat agama dan menjejaskan reputasi Islam.
Selain itu, seorang pengguna bernama Mohd Fahmi turut memberi komen bahawa dia pernah menyaksikan kaedah yang sama digunakan dalam amalan sihir pemisah, di mana ayat Al-Quran disalin dan dilarutkan dalam air untuk tujuan tertentu.