Sebelum keputusan semalam, gaji bulanan kakitangan awam berkisar antara AS$20 (RM95.20) hingga AS$40 (RM190.40) bergantung kepada nilai tukar pound Syria.
Presiden Bashar al-Assad telah mengeluarkan arahan semalam untuk meningkatkan gaji kakitangan awam, anggota tentera, dan bayaran pencen pesara kerajaan sebanyak 50 peratus
pada masa di mana ekonomi Syria berhadapan dengan kemelesetan yang ketara dan inflasi yang meningkat disebabkan oleh perang yang berterusan selama hampir 13 tahun.
Bashar sebelum ini telah mengumumkan keputusan serupa pada tahun lalu dengan menaikkan gaji dan bayaran pencen dua kali ganda serta memansuhkan subsidi bahan api.
Ekonomi Syria telah terjejas parah akibat perang saudara yang telah mengorbankan lebih daripada 500,000 nyawa dan menyebabkan berjuta-juta penduduk menjadi pelarian sejak bermulanya pada tahun 2011.
Lebih daripada 90 peratus penduduk Syria dilaporkan hidup dalam keadaan kemiskinan, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan nilai mata wang Syria juga telah jatuh merudum.
Sebelum keputusan semalam, gaji bulanan kakitangan awam berkisar antara AS$20 (RM95.20) hingga AS$40 (RM190.40) bergantung kepada nilai tukar pound Syria.
Dalam pengumuman yang disiarkan semalam, Bashar turut menetapkan gaji minimum bulanan sektor swasta pada 278,190 pound Syria atau AS$19 (RM90.41).
Pound Syria diniagakan sekitar 14,500 kepada AS$1 (RM4.76) semalam, mengikut beberapa laman web pemantauan tidak rasmi berbanding dengan kadar rasmi 12,500 dolar Syria.
Nilai mata wang Syria telah merudum lebih daripada 99 peratus sejak bermulanya perang.
Syria kini menghadapi krisis ekonomi yang serius yang diperparah oleh lonjakan kadar inflasi, pemotongan bekalan elektrik, dan kekurangan bahan api.
Menurut PBB, seramai 16.7 juta rakyat Syria, termasuk 5.5 juta orang yang menjadi pelarian di dalam negara, memerlukan bantuan kemanusiaan pada tahun ini, meningkat dari 15.3 juta pada tahun 2023.