Mudah rupanya semai dan tanam pokok betik, tengok akar saja tau

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Pokok betik sebenarnya mudah saja untuk disemai dan ditanam jika tahu caranya.

Anda juga kena tahu yang mana benih dan pokok betina kerana pokok jantan tidak menghasilkan buah.

Ikuti tips mudah menyemai dan menanam pokok betik seperti dikongsikan Zaiton Hamid ini:

Mudah rupanya semai dan tanam pokok betik, tengok akar saja tau

Pokok betik merupakan pokok yang boleh hidup lama jika dijaga dengan baik. Ilmu ini saya dapat dari seorang rakan guru iaitu cikgu Mohd Eddy Izuwan.

Cara semaian biji betik:

1. Rendam biji betik dalam air suam lebih kurang 3 jam atau jemur di tengah panas hingga kering.

Sebabnya, biji betik mengandungi gel pelindung maka kita perlu hilangkan gel itu dulu.

2. Setelah kering, taburkan biji tersebut di tapak semaian.

3. Siram 2 kali sehari untuk proses penumbuhannya.

4. Tunggu sehingga anak pokok tumbuh.

Untuk pilih benih betina:

1. Rendam biji betik yang baru diambil daripada buah dalam gelas berisi air.

2. Kacau-kacaukan.

3. Buang biji yang terapung kerana biji yang terapung itu jantan.

4. Ambil biji yang tenggelam dan keringkan bawah panas matahari.

5. Biji yang dah kering lebih cepat bercambah daripada biji yang basah kerana gel pelindung yang ada di sekeliling biji itu menghalang daripada biji itu bercambah.

Jika tidak, masa nak bercambah akan mengambil masa lebih lama, mungkin sampai sebulan baru bercambah.

Kalau tanam biji yang kering, dalam seminggu dua sudah bercambah jadi anak pokok.

Cara menanam anak pokok:

1. Pindahkan anak pokok ke tempat yang sesuai.

2. Pastikan menanam anak pokok betina untuk mendapatkan buah. Jika tanam anak pokok jantan maka bunga sahaja yang akan keluar, buah tidak ada.

3. Untuk membezakan anak pokok jantan atau betina lihat pada akarnya:

Akar memanjang ke bawah ialah pokok jantan (tak payah tanam nanti tiada buah)
Akar berselerak adalah pokok betina (tanam dan tunggu hasilnya)
4. Pokok betik perlukan banyak air untuk proses tumbesarannya. Jadi, siram 2 kali sehari dan pastikan jangan sampai air bertakung nanti pokok mati.

5. Kalau nak betik tu berbuah rendah, tanam batang pokok itu semuanya dalam tanah masa nak tanam nanti. Biar tinggal sedikit saja bahagian batang di atas tu.

Semoga perkongsian ini dapat membantu.

Baca:Lelaki temui wang tunai RM 242k dalam dinding masa ‘renovate’ rumah