Sisa mikroplastik ditemui di puncak Gunung Everest dan dipercayai berasal daripada peralatan yang digunakan oleh pendaki.
Khemah berwarna terang, pelbagai peralatan pendakian yang dibuang, bekas gas kosong, dan najis manusia beku
Merupakan antara sisa yang sering dijumpai di sepanjang laluan menuju ke puncak setinggi 8,848 meter tersebut.
Keadaan ini menjadikan Gunung Everest dikenali sebagai tong sampah tertinggi di dunia.
Kajian pertama mengenai mikroplastik di gunung tertinggi dunia itu telah dijalankan oleh kumpulan penyelidik National Geographic dan Ekspedisi Everest Rolex Perpetual Planet pada tahun 2019.
Sebuah kumpulan penyelidik menemui bahan pencemaran pada ketinggian 8,440 meter dari paras laut.
Penemuan ini boleh mendedahkan potensi ancaman pencemaran plastik di Gunung Everest dan telah diterbitkan dalam jurnal alam sekitar, One Earth.
“Sampel menunjukkan jumlah signifikan poliester, akrilik, nilon dan gentian polipropilena,” kata pengarang kajian, Imogen Napper dalam satu kenyataan.
Napper juga adalah seorang pengembara National Geographic dan saintis di Universiti Plymouth di Britain.
“Saya agak terkejut menemui mikroplastik pada setiap sampel salji yang (saya) analisis. Gunung Everest ialah salah satu tempat yang saya sentiasa anggap terpencil dan terpelihara.
“Untuk menyedari bahawa kita sudah mencemari kawasan dekat puncak gunung tertinggi (dunia) itu benar-benar mengejutkan,” jelasnya.
Sebahagian besar pakaian untuk aktiviti luar yang digunakan oleh pendaki dan pengembara di Gunung Everest diperbuat daripada fabrik buatan.
Khemah, tali pendakian, dan peralatan lain juga menggunakan jenis material yang sama.
“Kami mengesyaki barangan jenis ini adalah punca pencemaran utama berbanding makanan dan bekas simpanan air,” kata Napper sambil merujuk kepada jumlah sampah di puncak selepas berpuluh-puluh tahun aktiviti pendakian bertukar kepada komersial.
Pada tahun lepas, sebuah pasukan terdiri daripada 14 ahli meluangkan masa selama enam minggu untuk mengutip sampah di sekitar Base Camp dan Camp 4 di Gunung Everest, yang terletak kira-kira setinggi 8,000 m.
Mereka juga membawa turun empat mayat yang ditemui serta lebih daripada 10 tan botol plastik, tin minuman, dan peralatan mendaki.
Kajian yang sama juga tidak menolak kemungkinan wujudnya mikroplastik di Gunung Everest yang mungkin dibawa oleh angin yang sangat kuat dari kawasan lain seperti Banjaran Himalaya.
Sebuah kumpulan penyelidik juga menemui sisa-sisa mikroplastik di kawasan pergunungan itu.