Peniaga putu buluh terkejut sekelip mata jadi jutawan, menang RM1 juta dan kereta mewah

Oleh BURHANUDDIN ABD RAZAK

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Demikianlah nasib seorang peniaga makanan putu buluh, Muslim Chatib, 62, yang bergelar jutawan selepas memenangi wang berjumlah RM1 juta berserta sebuah kereta mewah BMW X5.

Kemenangan itu selepas Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) yang dibeli sejak 1999, dipilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP yang ke-95.

Peniaga putu buluh terkejut sekelip mata jadi jutawan, menang RM1 juta dan kereta mewah
Muslim yang juga peniaga pasar malam serta mengusahakan gerai makanan bersama isterinya, Noraini Said, 54, di sememangnya tidak menyangka kejayaan itu.

“Saya mula menyimpan dalam BSN sejak 1990 lagi dan masa sama juga, ada membeli SSP yang ditawarkan BSN itu sekadar untuk cuba-cuba sahaja apabila cabutan itu dijalankan, manalah tahu ada rezeki dapat hadiah.

“Saya pernah juga terima kemenangan sagu hati daripada BSN tetapi tidak pernah bermimpi atau menyasar untuk dipilih sebagai pemenang dalam setiap cabutan.

“Apabila mendapat tahu terpilih dalam Cabutan Jutawan BSN SSP yang ke-95, saya agak terkejut kerana tidak sangka ia menjadi rezeki saya,” katanya memetik Berita Harian semalam.

Muslim menyifatkan kejayaan ini juga adalah rezeki daripada Allah SWT dan buat masa ini, dia belum mempunyai sebarang perancangan khusus untuk menggunakan wang daripada cabutan BSN SSP yang dimenanginya itu.

“Mulanya saya diberitahu oleh anak sulung saya pada 4 Januari lalu mengenai kemenangan ini ketika sedang berniaga di gerai namun saya tidaklah mengambilnya begitu serius kerana tiada apa bukti mengesahkan saya menang.

“Namun apabila pihak BSN sendiri menghubungi, maka saya anggapkan itu adalah perkara yang benar dan saya bersyukur dengan kejayaan yang diberikan kepada kami dalam hal ini.

“Buat masa sekarang, saya dan keluarga belum ada perancangan untuk menggunakan wang berkenaan namun saya berfikir untuk membawa keluarga menunaikan umrah selepas ini jika diizinkan Allah,” katanya.

Muslim yang berasal dari Sumatera, Indonesia, mendirikan rumah tangga bersama Noraini pada 1987 di Kangar dan dikurniakan tiga anak perempuan berusia antara 26 hingga 36 tahun.

Selain menjadi peniaga, Muslim juga adalah seorang jurulatih taekwando bertauliah di Perlis, banyak mengajar seni mempertahankan diri itu di beberapa buah sekolah menengah, rendah dan tadika sekitar Kangar.

Baca juga: Akhirnya balu Abam Bocey dedah siapa lelaki misteri yang didakwa tunang