Trend mengubahsuai kenderaan, terutamanya dalam bahagian kosmetik, sudah menjadi seolah budaya dalam masyarakat kita.
Tujuan ubahsuai kosmetik yang dilakukan sama ada secara minima atau ekstrem hanyalah satu, iaitu untuk menambah nilai estetika kenderaan pada pandangan mata.
Langkah paling asas yang sering dilakukan oleh orang ramai adalah memasang ‘tinted’ pada cermin kereta.
Selain daripada menghalang cahaya matahari dan panas, cermin kenderaan yang dikelapkan memberikan kesan yang lebih kacak.
Maksud dan cara membaca kod pada sportrim kereta
Bagi mereka yang mempunyai modal lebih, menukar sportrim adalah satu tahap pengubahsuaian seterusnya.
Sportrim baru yang dipilih mestilah lebih bergaya, supaya tidak kelihatan usang seperti sportrim keluaran asal pengeluar syarikat.
Walaubagaimanapun, untuk menukar sportrim, anda perlu memahami ilmu membaca kod yang terdapat pada bahagian tersebut.
Perkongsian ini diambil daripada seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai @asfautocarebukitminyak.
Kod unik yang terdapat pada sportrim
Menurut perkongsian tersebut, setiap sportrim kebiasaannya akan mempunyai kod tersendiri.
Sebagai contoh, kod yang ditunjukkan dalam video muat naik tersebut ialah 17x7JJ 4H100 ET35.
Nombor 17 di awal kod itu merujuk kepada diameter rim dalam ukuran inci dan angka 7 merujuk kepada saiz lebar rim dalam inci.
Bagi JJ, itu merujuk kepada jenis bebibir pada hujung rim tersebut dan 4H bermaksud jumlah lubang bolt atau nut yang digunakan oleh rim tersebut.
Kod seterusnya, iaitu 100, merujuk kepada PCD diameter pada bahagian rangkaian lubang nut dan ET35 pula bermaksud offset pada rim tayar.
Sekarang sudah tahu kan? Selepas ini, jika anda ingin menukar sportrim, perhatikan dahulu kod yang terdapat pada sportrim tersebut.
BACA: Patutlah lalat sukar ditangkap, ini rekod kepantasan lalat yang berjaya direkod