Pelanggan cipta rekod di restoran nasi kandar, belanja RM218 untuk seorang

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Siapa sangka, seorang pelanggan sanggup mengeluarkan belanja sebanyak RM218 untuk satu kepala di sebuah restoran nasi kandar.

Tindakan lelaki asal Pulau Pinang itu sekaligus memecahkan rekod pembelian nasi kandar termahal di restoran terkenal yang terletak di Jalan Air Itam, George Town.

Mengejutkan, pemuda yang memakai jersi Arsenal itu mengambil lauk dalam kuantiti ‘selambak’

Pelanggan cipta rekod di restoran nasi kandar, belanja RM218 untuk seorang

antaranya 13 ekor udang dan 13 ekor sotong bersama sepinggan nasi.

Tidak cukup dengan itu, pelanggan berkenaan turut menambah lauk sampingan lain termasuk dua ketul ayam, telur masin, telur sotong dan juga ulam iaitu sayur bendi.

Mengundang perbincangan hangat, perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran tular yang telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook, Nasi Kandar Sulaiman.

“RM218, pecah rekod. Rekod yang tertinggi setakat ini. Seorang makan sampai Rm200. Fuh, saya sendiri pun tak sangka. Orang yang pertama (belanja) masuk RM200

“Amat-amat dahsyat. Langsung tidak boleh dijangka. Orang Pulau Pinang,” kata pemilik restoran nasi kandar tersebut di akaun Facebook berkenaan pada Sabtu (semalam) lalu.

Berdasarkan komen yang ditinggalkan pemilik akaun, pelanggan itu berjaya menghabiskan nasi kandar dan kesemua lauk sehingga licin dalam tempoh sejam tujuh minit sahaja.

Terdahulu, pemilik premis pada Jumaat lalu telah membuat perkongsian mengenai pelanggan lain yang berjaya memecahkan rekod pembelian dengan harga RM114.50.

Menjangka rekod itu akan kekal sehingga tahun hadapan, pemilik restoran juga tidak menyangka ia mampu dipecahkan oleh pelanggan lain dalam masa sehari sahaja.

Rata-rata pengguna media sosial bukan sahaja terkejut dengan jumlah perbelanjaan, mereka juga terperanjat kerana lelaki itu mampu menghabiskan nasi dan semua lauk.

”Sampai tahun depan ya Nasi Kandar Sulaiman. Tak sempat sehari, tudia pecah terus,” kata seorang pengguna yang mengikut perkembangan rekod pembelian termahal itu.

”Uish inikah orangnya yang makan itu. Mantap usus milik pelanggan itu.” Kongsi pengguna lain yang terkejut melihat kuantiti lauk nasi kandar yang diambil pelanggan berkenaan.

Sebelum ini, Restoran Nasi Kandar Sulaiman itu pernah menjadi fenomena sehingga para pelanggan sanggup beratur panjang hanya untuk menjamah makanan di situ.

Baca juga: “Semangat kampung yang sebenar”, berlainan bangsa tapi akrab macam keluarga undang perhatian netizen