Wanita dicerai angkara suami tawar hati, abang ipar akhirnya buka rahsia

Oleh AHMAD SULAIMAN

Setiap pasangan yang menginjak ke alam perkahwinan pasti mendambakan kehidupan yang sakinah, mawaddah dan warahmah.

Namun tidak bagi pasangan ini apabila ikatan ijab dan kabul mereka hanya bertahan selama hampir 100 hari selepas dinikahkan pada 13 Oktober tahun lalu.

Hanya ingin dikenali sebagai Nisa, dia berkongsi pengalaman yang dilalui untuk dijadikan pengajaran bersama.

Wanita dicerai angkara suami tawar hati, abang ipar akhirnya buka rahsia

“Perceraian kami adalah atas kesefahaman bersama. Alasannya ialah pasangan saya sudah tak boleh jalankan tanggungjawab sebagai suami.

“Suami pun tak nak hubungan kami tergantung tak bertali memandangkan hatinya sudah kosong untuk saya. Saya dan keluarga pernah cuba memujuk dan bagi peluang.

“Tapi apakan daya, dia tetap dengan keputusan untuk berpisah. Katanya dia sudah cuba tapi tetap tak boleh. Memang sedih… kecewa sebab tak ada orang yang inginkan penceraian,” ujarnya kepada mStar.

Terdahulu Nisa tampil di media sosial bagi meluahkan kisahnya yang cuba mempertahankan perkahwinan namun menemui kegagalan.

Bercerita lanjut, Nisa berkata dia mula menyedari hubungannya dengan bekas suami bakal berdepan masalah apabila lelaki itu pernah meluahkan rasa sangsi untuk meneruskan perkahwinan.

Bagaimanapun perkahwinan mereka tetap diteruskan setelah dua kali keluarga Nisa mengadakan perbincangannya dengan lelaki itu.

“Tiga minggu sebelum kami kahwin, dia ada cakap yang hati dia sudah kosong secara tiba-tiba. Jadi keluarga saya berjumpa dengan dia untuk pastikan sama ada nak teruskan atau tidak.

“Jawapan dia nak teruskan… jadi kami pun teruskan sampai nikah. Tapi lepas berkahwin, komunikasi antara kami sangatlah berkurangan,” katanya.

Menurut Nisa lagi, dia mengesyaki bekas suaminya bersikap sedemikian kerana didorong perasaan cintakan orang lain.

“Suatu hari tu, saya dan keluarga lelaki bersua muka. Abang ipar ada tanya apa masalah kami sampai jadi macam ni.

“Masa tu juga dia (abang ipar) beritahu yang adik dia sukakan orang lain sebelum kami berkahwin lagi,” demikian imbas Nisa.

Setelah segala cubaan untuk menyelamatkan rumah tangga menemui jalan buntu, Nisa dan suami akhirnya bercerai pada Ahad lalu.

Kata Nisa, dia berharap perkongsiannya di TikTok dapat dijadikan pengajaran agar sesiapa sahaja tidak membuat keputusan melulu terutamanya apabila melibatkan isu perkahwinan.

“Saya buat video tu di TikTok sekadar nak kongsikan pengalaman pahit yang terjadi dalam hidup saya. Tak pernah disangka-sangka benda macam ni jadi pada saya.

“Apa-apa pun saya nasihatkan pada semua, jangan buat keputusan kalau belum bersedia nak kahwin.

“Kalau nak berumah tangga pastikan anda sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal dan bukanlah ikut trend semata-mata,” jelasnya.

BACA: “Apa salah saya dibenci begini, lagi sedih suami tak terus terang, syarat perempuan tu tak nak bermadu, maknanya aku akan diceraikan”