Semalam, berita mengenai pelantikan Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra sebagai Tengku Mahkota Kelantan telah menjadi perhatian ramai.
Menurut Sinar Harian, pengumuman ini disiarkan melalui Warta Kerajaan Kelantan bertarikh 11 Januari,
Yang menjelaskan bahawa pelantikan tersebut mendapat perkenan dari Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Warta tersebut menjelaskan bahawa satu mesyuarat telah diadakan pada 4 Januari lalu, jam 3.30 petang, melibatkan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri
Kelantan di Bilik Mesyuarat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Kompleks Kota Darulnaim berhubung perkara tersebut.
“Memenuhi kehendak Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua),
kami dengan ini bersetuju mengangkat sembah nasihat kehadapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V untuk mengurniakan gelaran Tengku Mahkota Kelantan kepada Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tengku Bendahara Kelantan pada ketika ini.
“Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan putera zuriat Almarhum Sultan Ismail Petra, menepati dengan maksud Perkara 30 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua),” jelas Warta Kerajaan Kelantan.
Selain itu, Warta Kerajaan turut melaporkan bahawa Sultan Muhammad V telah menarik balik gelaran Tengku Mahkota Kelantan yang sebelumnya dianugerahkan kepada Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Penarikan ini dilakukan berdasarkan kuasa Baginda di bawah Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) dibaca bersama dengan Seksyen 47 Interpretation Acts 1948 dan 1967.
BACA: Anak muda ini punyai hartanah di London nilai RM65 juta, rupanya bapanya bekas Menteri Malaysia