Tengah syok menunggang motosikal selepas pulang daripada kerja sambil melayan angin petang, tiba-tiba tayar motor pancit atau bocor membuatkan penunggang terus hilang kawalan.
“Ah sudah” semestinya itu antara ayat yang terpancul keluar daripada mulut.
Jalan juga tidaklah berada dalam keadaan lenggang, semua sedang terburu-buru untuk pulang ke rumah.
Mahu atau tidak mahu, terpaksa juga cari tempat untuk berteduh yang tidak menghalang laluan orang ramai.
Dalam keadaan begini, kita semestinya buntu untuk mencari jalan penyelesaian. Bila buka peta di aplikasi untuk mencari bengkel berdekatan, ia sangat jauh dengan lokasi kejadian.
Jadi, apa nak buat jika perkara ini terjadi di tengah-tengah jalan atau lebuh raya? Lebih-lebih kalau tayar pancit teruk sehingga nampak rim terkeluar.
Kebiasaannya, kalau kes sebegini berlaku di mana tayar juga sudah menunjukkan kemunculan rim memang kena hantar bengkel.
Kalau kes tayar pancit teruk, pam macam mana pun angin tidak akan boleh masuk kerana rim tidak melekat dengan tayar.
Trik tayar pancit di tepi jalan atau lebuh raya
Menerusi perkongsian Dania Garage di Facebook, ia berkongsi tentang cara dan trik yang perlu dilakukan jika individu berhadapan dengan situasi seperti ini.
Katanya, keadaan ini memang perlukan satu pemampat yang kuat untuk letupkan semula tayar supaya ia boleh dipam seperti biasa.
“Sebab itu kalau dapat kes macam ini tak akan boleh buat atau betulkan di tepi jalan.
“Hanya boleh betulkan di bengkel sahaja kerana ada satu pemampat tekanan kuat boleh letupkan tayar,” ujarnya.
Tetapi, kalau korang nak tahu ada satu trik yang boleh digunakan dalam situasi getir itu.
Mudah sahaja untuk lakukan kerana ia tidak memerlukan peralatan lain yang digunakan oleh pomen di bengkel
“Caranya senang sahaja, hidupkan enjin motor dan masuk gear dua, rem motor laju-laju.
“Selepas rem motor dengan laju, tekan tayar kempis dan pam.
“Tayar akan kembali kepada asal dan angin juga mudah untuk masuk,” jelasnya.
Korang semua sudah tahukan apa yang perlu dilakukan sekiranya perkara itu terjadi? Semoga trik yang dikongsi ini membantu anda pada masa hadapan.