Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilaporkan kehilangan kesabaran dengan Benjamin Netanyahu
setelah Perdana Menteri Israel enggan mematuhi beberapa permintaan Washington berkaitan konflik di Gaza.
Menurut pegawai-pegawai AS yang memiliki pengetahuan dalam perkara ini,
laman berita Axios melaporkan kelmarin bahawa barisan penasihat kanan pentadbiran Biden semakin kecewa dengan keteguhan hati Netanyahu.
“Situasi semasa amat buruk dan kami menjadi buntu. Kesabaran Presiden (Biden) semakin menipis,” kata seorang pegawai di Washington.
Laporan tersebut juga menyatakan bahawa Biden tidak berbicara dengan Netanyahu sejak 20 hari lalu selepas panggilan telefon terakhir mereka pada 23 Disember 2023.
Percakapan telefon itu dikatakan tegang, dengan Biden yang kecewa mengakhiri percakapannya dengan berkata: “Perbualan ini telah berakhir.”
Kedua-dua sekutu tersebut sebelum ini berbicara hampir setiap hari selama dua bulan pertama perang di Gaza.
“Terdapat kekecewaan yang besar,” kata pegawai lain kepada Axios.
Menurut laporan tersebut, punca utama kekecewaan Biden adalah keengganan Netanyahu untuk memenuhi permintaan yang menjadi keutamaan Washington.
Selain dari pelepasan hasil cukai Palestin yang disekat oleh Israel, Biden dan penasihatnya percaya Rejim Zionis tidak melakukan secukupnya untuk membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan masuk ke Semenanjung Gaza.
Washington juga kecewa karena Netanyahu enggan membincangkan secara serius mengenai perancangan Gaza selepas perang berakhir.
Dia dikatakan menolak rancangan AS membentuk Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk berperanan mentadbir Semenanjung Gaza selepas Hamas ditumbangkan.
Pegawai AS juga dikatakan bimbang Israel tidak akan mematuhi jadual untuk mengecilkan operasi ketenteraan di Gaza menjelang akhir bulan ini, terutamanya di bandar Khan Younis, selatan Gaza.
Sekiranya Israel tidak mengurangkan operasinya di Gaza seperti yang dipinta Washington, ia akan menjadi semakin sukar bagi Biden untuk mengekalkan tahap sokongan yang sama terhadap kempen ketenteraan Israel.
Sementara itu, Lawatan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ke Israel minggu lalu hanya menambah kekecewaan White House, kata pegawai AS yang bercakap kepada Axios.
Menurutnya, Netanyahu memang bersetuju membenarkan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasuki utara Gaza untuk menilai keperluan membolehkan penduduk Palestin kembali ke wilayah tersebut pada masa akan datang. Namun, itu satu-satunya permintaan yang dipersetujui olehnya.
Senator dari Parti Demokrat, Chris Van Hollen, berkata: “Pada setiap masa, Netanyahu tidak mengendahkan permintaan Biden. Washington merayu kepada kerajaan gabungan Netanyahu tetapi mereka ‘ditampar di muka’ berulang kali.”
Tambah Hollen, buat masa ini, Netanyahu lebih memilih mendengar nasihat menteri berfahaman ekstrem dalam Kabinetnya iaitu Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich berbanding saranan Biden.