Siapa sangka tanah 1.2 hektar di Jln Perak, KL adalah tanah wakaf! Ini kisah kekayaan Ahmad Dawjee Dadabhoy

Oleh BURHANUDDIN ABD RAZAK

Dari jauh, Menara Bank Islam yang tersergam indah di kawasan seluas 1.2 hektar Jalan Perak, Kuala Lumpur dapat dilihat.

Bangunan setinggi 34 tingkat ini, adalah lambang kepesatan dan penerimaan rakyat Malaysia terhadap sistem perbankan Islam.

Bangunan yang direka berasaskan prinsip perpaduan dan kekuatan di bawah satu prinsip, membabitkan kos pembinaan sebanyak RM151 juta,

Siapa sangka tanah 1.2 hektar di Jln Perak, KL adalah tanah wakaf! Ini kisah kekayaan Ahmad Dawjee Dadabhoy

dirasmikan dengan penuh gemilang oleh Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin pada 19 Oktober 2011.

Di sebalik kehebatan bangunan pencakar langit di kawasan segi tiga emas ibu negara ini, tersimpan kisah menarik mengenai kemurahan hati seorang lelaki bernama Ahmad Dawjee Dadabhoy yang mewakafkan harta bendanya, termasuk tanah yang kini menempatkan Menara Bank Islam.

Ahmad Dawjee adalah antara umat Islam di negara ini sejak dahulu hingga sekarang, yang menyerahkan sebahagian atau keseluruhan harta yang dimiliki untuk kegunaan umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Menariknya mengenai Ahmad Dawjee ialah beliau bukan dilahirkan di negara ini, tetapi berasal dari Gujerat di pantai barat India, iaitu antara wilayah terawal negara rantau Asia Selatan itu yang menerima Islam. Gujerat yang sebelum era Islam sudah menjadi tumpuan pedagang Arab, menerima Islam melalui akhlak dan sahsiah pedagang Arab yang bukan sekadar berniaga, malah berdakwah menyiarkan syiar Islam kepada penduduk tempatan.

Pedagang Islam Gujerat kemudian turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam, termasuk di negara ini, Indonesia dan kawasan lain Asia Tenggara.

Seperti kebanyakan penduduk Islam Gujerat yang berjaya dalam perniagaan dan tersebar di seluruh dunia, Ahmad Dawjee yang dilahirkan pada 1907, memilih untuk menetap di Tanah Melayu pada tahun 1940-an setelah puas merantau di banyak negara di dunia.

Ahmad Dawjee yang fasih dalam pelbagai bahasa dan mempunyai tabiat suka membaca memilih menetap di Kuala Lumpur. Ketika itu, beliau sudah memiliki perniagaan berjaya dan bergelar hartawan, selain mempunyai rangkaian kenalan di seluruh dunia.

Sejak awal lagi, beliau banyak bersedekah dengan menyerahkan hartanya melalui institusi wakaf yang asalnya merupakan wakaf keluarga, tetapi kemudian dinamakan sebagai Alwaqful Islami ul Alamee.

Walaupun mampu hidup mewah di rumah agam, sebaliknya beliau memilih untuk hidup sederhana di rumah pangsa Malayan Mansion, iaitu di kawasan Masjid India. Pada penghujung usianya, mewakafkan hampir keseluruhan hartanya termasuk sebidang tanah seluas 1.2 hektar di Jalan Perak, Kuala Lumpur.

Pada usia 80 tahun, beliau meninggal dunia pada 24 Januari 1987. Sebelum meninggal dunia, Allahyarham telah menyatakan hajat untuk memberikan wakaf beliau yang terdiri daripada beberapa harta benda dan dana kepada pihak berkuasa agama negara ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 September 1991, mengisytiharkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah pemegang amanah Ahmad Dawjee yang tidak mempunyai waris serta bagi memenuhi wasiat Allahyarham.

Ahmad Dawjee Dadabhoy, hartawan yang gemar membaca buku
Fatwa Wilayah Persekutuan yang dikeluarkan menyebut: “Bahawa Ahmad Dawjee Dadabhoy telah mewujudkan satu wakaf di sisi agama Islam. Ini berdasarkan kepada lafaz yang dibuat dalam Surat Ikatan Pengisytiharan Wakaf dan pengakuan bertulis saksinya Syed Mustapha bin Syed Wazir.”

Keputusan Allahyarham untuk mewakafkan hartanah bernilai tinggi itu membolehkan pembinaan Menara Bank Islam dimajukan dan memberi pulangan besar kepada umat Islam. Bayangkan nilai tanah itu yang asalnya RM34 juta meningkat lima kali ganda kepada lebih RM151 juta setelah dimajukan.

MAIWP sebagai pemegang amanah hartanah wakaf itu telah menggalas tanggungjawab membangunkan tanah wakaf tersebut seterusnya menjadi pelopor kepada pembangunan tanah wakaf bagi tujuan komersial di Malaysia.

Melalui kerjasama antara MAIWP, Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), tanah tersebut berjaya dibangunkan. Dalam perkongsian pintar ini, LTH sebagai pemaju menawarkan pembiayaan 100 peratus bagi membangunkan tanah wakaf MAIWP dan BIMB sebagai perintis perbankan Islam di Malaysia menjadi penyewa utama.

TH Properties pula memainkan peranan sebagai pengurus projek. Berdasarkan struktur pembiayaan “Build-Operate-Transfer”, MAIWP akan mendapat pulangan sebanyak RM56.6 juta sepanjang tanah tersebut dipajakkan kepada LTH selama 25 tahun.

Bermula dengan sikap dermawan dan pemurah Ahmad Dawjee, Menara Bank Islam menjadi mercu tanda dan kebanggaan umat Islam. Pulangan yang diterima oleh MAIWP pula dipulangkan untuk manfaat asnaf dan ummah seluruhnya. Betapa besar manfaat yang diperolehi berpunca dari amalan wakaf Allahyarham.

Selain Ahmad Dawjee, ramai lagi umat Islam di negara ini yang mewakafkan harta masing-masing seperti Seetee Aisah Mahmood di Pulau Pinang yang mewakafkan tanah seluas lima hektar di Jalan Tun Hussein Onn, Seberang Jaya, pada tahun 1901 bagi tujuan pertanian dengan sewaan RM400.

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sebagai pemegang amanah tanah kemudian bekerjasama dengan UDA Holdings Berhad untuk memajukan tanah itu yang kini dikenali sebagai Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah, iaitu 27 unit kedai serta 76 unit rumah teres dua tingkat yang dinamakan sebagai Taman Wakaf Seetee Aisah.

Pusat komersial serta kediaman yang hanya boleh dimiliki umat Islam menelan nilai kasar sebanyak RM24 juta. Sebagai membalas kerjasama strategik itu, MAINPP menerima bangunan perniagaan bernilai RM10.9 juta.

Kejayaan pembinaan Menara Bank Islam di Kuala Lumpur dan Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah di Pulau Pinang, mencerminkan potensi besar tanah wakaf untuk dikomersialkan, terutama yang terletak di kawasan strategik seperti pusat bandar.

Dalam satu kajian Universiti Tun Hussein Onn Malaysia pada tahun 2020, menyatakan bahawa Malaysia memiliki rizab tanah wakaf yang besar, iaitu 11,091.82 hektar dengan 4,836.50 hektar adalah tanah wakaf am dan tanah wakaf khas seluas 6,255.32 hektar.

Lot perniagaan bangunan komersial yang dibina di tanah wakaf Seetee Aisah hanya dijual kepada umat Islam
Johor merupakan negeri yang mempunyai tanah wakaf paling banyak, iaitu 3,152.30 hektar diikuti oleh negeri Terengganu (2,460.24 hektar) dan Sabah (2,095.16 hektar).

Isu pembangunan tanah wakaf adalah antara agenda utama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, yang menyatakan bahawa dari segi perundangan, wakaf termasuk dalam senarai bidang kuasa negeri mengikut Butiran 1, Senarai 2, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah tunggal bagi semua tanah wakaf di negeri masing-masing bertanggungjawab untuk memastikan hartanah wakaf diuruskan dengan sebaiknya.

Katanya, Kerajaan Pusat melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) sentiasa menyokong projek pembangunan yang telah dibangunkan oleh MAIN, sama ada berbentuk ekonomi atau sosial berdasarkan kepada enam kategori projek, iaitu keagamaan, pendidikan, kesihatan, pertanian (industri makanan, penternakan dan perladangan), perumahan serta perniagaan dan perkhidmatan.

Pada masa sama, katanya JAWHAR bersama MAIN berusaha mencari pendanaan alternatif terutama dalam pasaran kewangan Islam dengan mengadakan kerjasama strategik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), syarikat swasta dan institusi kewangan bagi membolehkan pembangunan tanah wakaf yang berprestasi dan berimpak tinggi.

“Susulan daripada itu, beberapa MAIN telah menjalankan kerjasama dengan pihak berkaitan seperti MAIWP bersama LTH dan Bank Islam menerusi Projek Komersial Menara Imarah Al-Waqf Ahmad Dawjee Dadabhoy di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.

“Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) bersama UDA Bhd dan Bank Islam serta Bank Al Rajhi menerusi projek rumah kediaman wakaf Seetee Aisah dan kerjasama antara MAINPP dengan UDA Bhd diteruskan lagi melalui projek perumahan dan komersil wakaff Seetee Aisah 2,” katanya.

Ketika penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen, beliau berkata JAWHAR dengan kerjasama MAIN telah membangunkan pelbagai projek hartanah wakaf dan setakat ini, sebanyak 18 projek besar berimpak tinggi telah dilaksanakan di tanah wakaf oleh Kerajaan Pusat dengan kerjasama MAIN.

BACA: “Suami beria tolong mertua di kampung. Mana hak aku sebagai isteri, sampai mati saya tak redha, sepatutnya suami kena lebihkan aku dan anak”