Peniaga cendol Ahmad Nizam Noh terkejut apabila warung cendolnya di Taman Melati ‘diserbu’ oleh ribuan pelanggan
Tidak sampai 24 jam selepas pempengaruh terkenal, Khairul Aming, membuat ulasan mengenai makanan jualannya.
Memetik Harian Metro, Ahmad Nizam menyatakan bahawa sudah 10 tahun dia berniaga tetapi tidak pernah mengalami kunjungan pelanggan yang luar biasa sebelum ini.
“Menggigil lutut saya melihat pelanggan beratur panjang di depan warung saya kerana tak pernah melihat keadaan sebegini sebelum ini,” katanya.
“Pada pagi Jumaat lalu, Khairul Aming datang ke warung saya, dan sebenarnya dia sudah datang banyak kali sebelum ini, kebiasaannya bersama rakannya.
“Dia adalah pelanggan tetap saya yang suka pesan mi bandung, bihun sup, dan cendol pulut pada harga RM1.
“Walaupun pada hari berkenaan, dia meminta izin untuk membuat ulasan dan awalnya saya ragu kerana pengikutnya ramai, tetapi dia meminta saya mencuba sekali. Jadi, saya mengambil peluang itu untuk membuktikan bahawa peniaga kecil seperti saya pun boleh berjaya,” katanya.
Ahmad Nizam berkongsi bahawa sebagai tindak balas kepada kehadiran ramai pelanggan, dia terpaksa menambah empat pekerja lagi. Selain itu, pendapatan harian warungnya meningkat daripada RM800 kepada kira-kira RM8,000 hingga RM10,000.
“Jika sebelum ini saya pesan hanya 50 paket mi bandung dari Muar, kini saya perlu menambahkannya kepada 400 hingga 500 paket untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Ahmad Nizam menambah bahawa dia bersyukur dengan rezeki yang diperolehnya dan mengucapkan terima kasih kepada Khairul Aming kerana membantu mempromosikan perniagaannya tanpa meminta bayaran.