Jangan bersikap sambil lewa menganggap atas pesawat tiada penyangak.
Rupanya memang ada sindiket yang menyelongkar beg dan mencuri barangan milik penumpang dalam kapal terbang.
Hal ini didedahkan seorang bekas pramugara syarikat penerbangan Air Asia, Atif Zul.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok pada 13 Disember, dia memberitahu kes kecurian itu lazimnya berlaku bagi penerbangan dari China dan Hong Kong.
“Kalau dulu ada pengumuman khas melibatkan penerbangan ini yang mana kita suruh laporkan jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan.
“Jadi, ini adalah isu yang sangat biasa kalau penerbangan yang panjang,” katanya.
@atifzul Replying to @user7jns5qxppw ♬ original sound – Atif Zul
Kata Atif, beg berjenama turut menjadi sasaran sindiket itu selain menasihatkan penumpang agar tidak menyimpan wang dalam jumlah yang besar.
“Secara realitinya, ini hakikat kalau bawa beg yang berjenama lebih-lebih lagi di dalamnya ada wang tunai pula yang menunjukkan kemewahan seseorang.
“Secara tidak langsung ia mencuri perhatian sindiket,” ujarnya.
Sehubungan itu, Atif ada berkongsikan tips bagi mengelak barangan berharga hilang di dalam pesawat:
“Cadangan saya, letak beg anda bertentangan dengan tempat duduk supaya boleh nampak dengan jelas kalau orang selongkar.
“Kalau letak di ruangan atas kepala penumpang, anda tak akan tahu kalau ada orang cuba selongkar beg atau buat apa,” katanya lagi.