Gara-gara watak anime Nanami Kento yang menyatakan impian mahu ‘healing’ di pantai sekitar Kuantan, ibu negeri Pahang itu mungkin lebih ramai didatangi pelancong.
Sebabnya, peminat anime Jujutsu Kaisen sudah menanda pantai di Kuantan dalam Peta Google untuk dijadikan tugu memorial watak anime tersebut.
Berikut senarai 15 pantai di Kuantan yang mungkin menjadi impian Nanami untuk dia beristirehat:
Pantai Sepat
Pantai Cempaka
Pantai Kempadang
Pantai Anak Air
Pantai Teluk Chempedak
Pantai Tembeling
Pantai Pelindung
Pantai Batu Hitam
Pantai Beserah
Pantai Gelora
Pantai Teluk Sisek
Pantai Sg Karang
Pantai Balok
Pantai Cherating
Pantai Chendor
Nama ‘Kuantan’ tiba-tiba trending di aplikasi X selepas disebut dalam satu episod anime yang dikeluarkan pada bulan lalu.
Ia disebut watak Nanami Kento yang dimainkan dalam episod 42 Jujutsu Kaisen (musim kedua) yang ditayang pada platform Netflix.
Menerusi episod tersebut, Kento ada menyebut yang dia ingin melawat Kuantan di Malaysia atau lokasi tepatnya iaitu pantai di Kuantan sebelum kematiannya.
Antara dialog dituturkan Kento yang wataknya dimainkan oleh pelakon suara popular Jepun, Kenjiro Tsuda ialah:
“Malaysia, ya Malaysia. Saya patut pergi ke Kuantan. Saya akan bina rumah di pantai yang kosong.”
Susulan itu, kerajaan negeri Pahang akan bekerjasama dengan kerajaan Jepun dalam usaha untuk mendapat pelepasan daripada pencipta anime tersebut untuk menandakan pantai terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan, Leong Yu Man dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 6 Disember berkata, ia bagi menjadikan pantai yang ditanda sebagai tugu memorial watak Nanami Kento itu sebagai tempat check in peminat anime.
Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang menjawab soalan Rosli Abdul Jabar (Pas-Tanjung Lumpur) berkaitan perancangan kerajaan negeri untuk menaik taraf Pantai Tanjung Lumpur dan Pantai Kampung Anak Air sebagai kawasan pelancongan.