Ingatkan batu biasa-biasa, namun rupanya tidak! Seorang lelaki telah menggunakan sebuah batu sebagai penyendal pintu di rumahnya selama 30 tahun.
Namun, terdetik di hatinya suatu hari bahwa batu tersebut kelihatan sedikit pelik dan tidak seperti batu-batu biasa yang selalu dia jumpa sepanjang hidupnya.
Akhirnya, lelaki yang berasal dari Michigan itu membuat keputusan untuk bertanya kepada seorang ahli geologi mengenai batu yang digunakan sebagai penyendal pintu selama ini.
Terkejutnya dia ketika mengetahui identiti dan nilai sebenar batu tersebut yang mencapai USD100,000 (RM422,000)!
Lelaki tersebut yang tidak mahu didedahkan identitinya berkata, dia berjumpa dengan Mona Sirbescu, Profesor dan Ahli Geologi di Universiti Central Michigan untuk memeriksa batu tersebut.
“Batu itu adalah batu yang paling berharga yang saya pernah pegang sepanjang hidup saya. Berharga dari segi ekonomi dan sains,” katanya menurut laporan portal Newsweek.
Lelaki tersebut dikatakan membeli tanah pertanian di Edmore, 48 kilometer dari barat daya Mount Pleasant pada tahun 1988.
Selama lebih dari 30 tahun, batu ini digunakan sebagai penyendal pintu di rumahnya.
Batu tersebut diberikan oleh seorang penjual hartanah yang mendakwa melihat meteor jatuh dari langit ke tanah itu pada tahun 1930-an.
Beberapa tahun kemudian, lelaki itu pindah ke tempat lain, dan batu itu masih disimpan.
Dia tidak menyedari bahawa batu itu berharga setelah melihat meteor melintas di langit Michigan pada Januari, yang menyebabkan gempa bumi kuat, menurut US Geological Survey.
Ketika menunjukkan batu itu kepada Mona, profesor itu segera menyedari bahwa batu tersebut adalah sejenis batu meteor yang istimewa. Setelah diuji, Mona mendapati batu meteor itu mengandungi 88 peratus nikel besi dan 12 peratus nikel, yang jarang ditemui di bumi.
Susulan daripada pendedahan tersebut, Smithsonian Institution dan juga muzium mineral di Maine ingin membeli batu meteor tersebut yang kini dikenali sebagai ‘Edmore’.
Batu ‘Edmore’ tersebut dikatakan bernilai USD100,000 atau lebih kurang RM422,000. Dikatakan 10% daripada hasil jualan batu tersebut akan diberikan kepada Universiti Central Michigan mengikut persetujuan pemiliknya.