Seorang wanita tidak menyangka keputusan untuk menjalani perkahwinan jarak jauh (PJJ) dengan suami malah mengeruhkan hubungannya dengan mentua.
Banyak salah faham mula timbul, keadaan semakin memburuk apabila keluarga mentua memaksanya pindah ke kampung untuk menjaga datuk dan nenek suami.
Mula merasa hilang arah dalam membuat keputusan, ibu dan bapa kandung wanita berkenaan juga memerlukan penjagaan yang rapi darinya setelah mereka jatuh sakit.
Berikut kami kongsikan luahan wanita yang sudah ditimpa ujian begitu berat dalam perkahwinannya walaupun baru setahun mendirikan rumah tangga.
“Salam semua. Saya nak tanya pendapat kakak-kakak yang sudah lama berkahwin. Saya baru setahun jagung berumah tangga. Sekarang saya ada bau-bau masalah dengan keluarga suami. Saya isteri yang bekerjaya. Kami PJJ. Saya di Kedah, suami di Melaka. Tiada anak.
“Saya terpaksa bekerja demi komitmen bulanan kami berdua. Jika nak harapkan gaji suami, memang tak cukup untuk bayar kereta kami berdua dan perbelanjaan lain. Suami saya ada tiga orang adik-beradik termasuk dia. Ibu mertua saya sakit. Boleh dikatakan lumpuh kaki dan cuma berada atas kerusi roda sahaja.
“Tetapi ibu mentua masih boleh bergerak dengan kerusi roda untuk ke tandas dan sebagainya. Ibu mentua tinggal dengan atuk dan nenek suami. Bersama kakak suami saya. Adiknya pula masih bersekolah. Masalahnya sekarang, keluarga suami tengah marah-marah dia sebab biarkan saya bekerja.
“Lupa nak beritahu, saya tak bekerja di Melaka atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan. Jadi terpaksa balik bertugas di tempat kerja asal dan tinggal dengan mak dan ayah saya. Mak dan ayah saya juga sakit. Mak sekarang hampir buta. Ayah pula baru selesai pembedahan untuk buah pinggang tahap akhir.
“Kalau ditanya mana adik-beradik? Saya tiga beradik juga. Kakak tak dapat tinggal dengan mak sepenuh masa sebab dia juga sakit, keluar masuk hospital. Penghidap kencing manis, sudah lama. Kakak semakin hari, semakin sakit. Jadi suaminya tak bagi sangat kakak terlampau bekerja.
“Hal urusan bawa mak ke pakar pun semua kakak yang nombor dua banyak uruskan. Sekarang keluarga suami duduk bunyi-bunyi, katanya atuk dan nenek sudah tak larat. Cakap saya sedap sahaja, suka duduk rumah mak. Jaga mak saya boleh. Nak jaga atuk, nenek dan ibu mentua tak boleh pula.
“Untuk pengetahuan semua, saya bekerja sebagai seorang cikgu. Jadi waktu rehat tergantung pada cuti sekolah. Apabila cuti sekolah, mestilah saya nak balik Melaka bercuti dengan suami. Sekarang mereka minta saya berhenti kerja. Balik jaga nenek dan atuk suami. Tertekan saya fikir macam mana nak buat.
“Padahal atuk dan nenek masih ada lagi anak dan cucu berbelas orang. Anak-anak pula tinggal di tepi rumah sahaja. Tetapi kenapa mereka benci sangat kalau saya balik rumah mak sendiri? Salah ke saya? Saya nak ambil mentua balik duduk dengan saya di Kedah kalau boleh. Tetapi atuk dan nenek suami pula tak benarkan.
“Mereka nak saya yang balik tinggal di kampung untuk jaga atuk dan nenek sekali. Cucu-cucu mana? Semua sudah besar-besar belaka. Kalau nak bawa ibu mertua ke Melaka, rumah suami pula dekat tingkat 4 tiada lif. Saya semestinya tak dibenarkan kerja. Jadi saya sangat berbesar hati kalau diizinkan bawa ibu mentua ke Kedah.
“Kakak ipar pula sekarang nak sambung belajar lagi. Nak sambung master katanya. Kalau saya kat tempat dia memang tak teruskan sebab mengenangkan mak yang sakit, atuk dan nenek yang dah tua. Tetapi saya tak nak cakap lebih. Kita tak tahu apa yang dia fikir sebenarnya.
“Keluarga suami besar. Suami yang kahwin paling awal. Kiranya saya cucu menantu yang pertama dalam keluarga itu. Jadi adakah saya yang bertanggungjawab jaga Atuk dan Nenek mereka? Nak ambil ibu mentua tak bagi pula. Katanya boleh jaga atuk dan nenek sambil-sambil.
“Habis itu, cucu-cucu mereka dihantar belajar tinggi-tinggi. Kerja hebat-hebat belaka. Tetapi bab jaga, kena pass dekat saya yang cucu menantu ini. Saya pula yang perlu korbankan kerja untuk mereka? Kesian ibu mentua saya dijadikan bahan herdik oleh keluarganya dekat sana. Sedih juga suami kena fikirkan masalah ini.
“Nak suruh suami balik kerja di kawasan kampungnya di Perak pun susah. Proses pemindahan untuk penjawat awam bukan senang. Makan tahun juga nak dapat. Banyak kali suami cuba tapi ditolak. Maaf semua sebab terpaksa habiskan masa baca kisah saya ini
“Saya nak tanya pendapat dari kakak-kakak yang sudah lama berkahwin. Bagaimana kakak selesaikan masalah ini. Saya sangat tertekan fikir macam mana nak cari jalan keluar. Terima kasih sudi baca.” Kongsi wanita berkenaan yang memuat naik hantaran di laman luahan atas talian.