REE: Bekas CEO MBI Kedah didakwa terima suapan

Oleh BURHANUDDIN ABD RAZAK

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini

Atas dua pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM4 juta dan menerima suapan sebanyak RM1 juta pertengahan tahun ini.

Tertuduh, Mohd Sobri Osman, 63, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan jurubahasa di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

REE: Bekas CEO MBI Kedah didakwa terima suapan

Pertuduhan pertama melibatkan tindakan meminta suapan sebanyak RM4 juta daripada seorang lelaki warganegara Turki, John Abad Pe pada 20 Mei 2023 di Hotel Centara, Hatyai, Thailand.

Pertuduhan kedua pula melibatkan tindakan menerima wang tunai sebanyak RM1 juta secara rasuah dari John, melalui seorang wanita, Liyana Mamat @ Khalid, 40, pada 29 Mei 2023 di tempat letak kereta Wisma Darul Aman, dekat Jalan Tunku Bendahara, di sini.

Menurut kertas pertuduhan, tindakan meminta dan menerima rasuah itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd menjalankan usaha sama perlombongan mineral berharga tersebut, melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBI Kedah dengan syarikat berkenaan.

Pertuduhan ini dikendalikan oleh tiga Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya iaitu Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat serta Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Ibrahim Ismail serta Mohammed Zamri Ibrahim.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan mencadangkan agar mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan beberapa syarat tambahan seperti menyerahkan passport antarabangsa, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Pihak pembelaan memohon agar kadar jaminan ditetapkan sebanyak RM60,000 dengan alasan tertuduh sudah tidak lagi bergelar CEO MBI dan isterinya tidak bekerja. Selain itu, tertuduh juga sentiasa memberi kerjasama penuh kepada siasatan SPRM.

Mahkamah menetapkan kadar jaminan RM100,000 oleh seorang penjamin dengan syarat-syarat tambahan seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Januari 2024, dan difahamkan tertuduh telah membayar jaminan yang ditetapkan

BACA: ‘Saya pernah tengking anak depan kat airport hanya sebab dia tak nak pandang kamera, tak sangka terlalu besar pengajaran saya dapat’