‘Saya pernah tengking anak depan kat airport hanya sebab dia tak nak pandang kamera, tak sangka terlalu besar pengajaran saya dapat’

Oleh AHMAD SULAIMAN

Saya tak bangga dengan tindakan saya itu, tapi saya percaya, terlalu besar pengajaran saya dapat, terutama untuk Adam juga.

Waktu itu dia baru 3 tahun setengah, dan kami sekeluarga pergi umrah selama 2 minggu.

Destinasi pertama ke Mekah dulu, jadi kapal terbang turun di Jeddah, selepas dah transit di Qatar selama 3 jam, jumlah perjalanan hampir 13 jam.

‘Saya pernah tengking anak depan kat airport hanya sebab dia tak nak pandang kamera, tak sangka terlalu besar pengajaran saya dapat’

Dah la perjalanan lama, kami pula dah penat, barisan pula panjang kat imigresen. Dengan barang yang banyak, kena dukung pula Adam sebab dia takut orang tak kenal sekeliling (dan dia baru bangun tidur).

Jadi, waktu sampai giliran kat kaunter imigresen, dah semak passport, visa dll, tinggal nak ambil gambar saja di situ. Hanya perlu pandang kamera 2-3 saat, dan dah boleh pergi.

Pertama, isteri dan anak bongsu kami dulu, Iman. Dah siap, mereka dah lepas, dan saya pula pandang kamera. Kemudian sampai giliran Adam.

Tapi Adam ini memang sejak kecil dia tak suka orang ambil gambar. Jadi bila disuruh pandang kamera, memang susah. Dia tetap tak nak pandang, dan menangis-nangis atas bahu saya.

Dekat 5 minit juga, sampai orang di belakang dah mula berbisik-bisik sebab semua nak cepat. Pegawai kaunter pun cuba untuk tarik perhatian Adam, buat-buat petik jari di atas kamera supaya pandang.

Dia cadangkan juga suruh pasang kartun YouTube dan letak telefon di atas kamera, supaya mata Adam pandang ke arah itu. Tapi, Adam bijak, dia tahu helah itu dan tetap berkeras tak nak pandang.

Dah merengek menangis, bahu saya dah lenjun basah air mata dia.

Dengan faktor penat, barang banyak, berat, dah lambat, saya jadi tertekan. Sebab geram sangat,

“ADAM! PANDANG KAMERA SEKEJAP JE! ORANG BELAKANG DAH TUNGGU LAMA DAH TU!”

Saya tak bangga saya cakap begitu, malah sampai sekarang saya masih menyesal. Waktu itu, tak membantu pun, malah buatkan Adam jadi lebih ketakutan dan semakin kuat menangis.

Akhirnya, pegawai imigresen nasihatkan saya untuk ke tepi sekejap, beri peluang kepada jemaah lain. Tenangkan anak dulu, nanti datang balik.

Rasa malu pun ada, tapi rasa penat itu jauh lebih tinggi. Hati memang dah membuak-buak, sebab tugasan senang, pandang kamera 2 saat pun macam nak ajak masuk perang.

Sebab saya geram sangat, suara keluar itu pun jadi tinggi, dah seperti menengking.

Saya penat sangat, Adam pula berat tetap nak berdukung, dengan beg bagasi di bahu saya. Dah lah dalam flight tak dapat tidur lena, dekat 13 jam perjalanan.

Waktu inilah tiba-tiba mentol minda saya menyala.

“Suddenly, it made sense.”

Kalau saya yang dewasa ini pun dah penat begini, apatah lagi seorang anak kecil yang masih bergantung harap pada mak ayah sendiri? Kena tempuh perjalanan jauh, bergerak sana sini untuk transit, dengan pakaian yang dipakai sejak semalam…

Waktu itu lah saya mengucap, tarik nafas sekejap dan cuba ‘mindful’ dengan apa yang saya alami, dan situasi waktu itu.

Saya gosok belakang Adam, sambil ‘validate’ balik apa pengalaman dan perasaan dia.

“Papa tahu, Adam penat kan.. Dah la naik flight jauh, tidur pun tak dapat baring. Lepas tu, sekarang Adam takut orang tak kenal…”

Waktu ini, tangisan dia dah reda, tapi air mata masih bertakung kat pipi. Dia senyap saja waktu saya cakap begitu.

“Papa pulak marah Adam sebab tak nak pandang kamera. Sorry Adam…”

Air mata saya pula mengalir waktu ini, rasa sebak sebab muncul rasa empati apa yang dia rasa. Saya pusingkan badan dia supaya mata kami bertentang, saya cakap lagi sekali,

“Sorry Adam sebab papa tinggi suara tadi.”

Lepas saya kucup dahi dia, Adam nampak tenang sikit dan muka dah tak nampak tertekan macam tadi.

Saya pun ajak dia pergi ke kaunter lagi sekali untuk bergambar, dan kali ini dia tak nampak melawan. Senyap saja, tanda dia okay.

Lepas pegawai tadi nampak kami, tanpa saya suruh, Adam terus pandang ke arah kamera waktu pegawai itu tunjuk jari ke arah situ.

Tak sampai 2 saat, pegawai itu buat jari tanda thumbs up, dan kami pun berjaya lepasi imigresen. Spontan saya gosok kepala Adam dan ucapkan terima kasih dan “good job”.

Sewaktu saya melangkah ke arah isteri saya yang sedang tadi menunggu, air mata saya mengalir lagi sekali.

Betapa besarnya kuasa ‘validasi’ terhadap seseorang, apatah lagi untuk seorang kanak-kanak yang masih berkembang emosinya.

Saya tak bangga dengan apa yang saya buat, terutama saya tinggikan suara itu untuk lepaskan geram, bukan untuk mendidik.

Tapi detik itu jadi teladan dan pengajaran terbesar untuk saya sebagai seorang ayah, setakat ini.

Saya terfikir, kalaulah tengkingan kepada Adam tadi dibuat setiap hari, sikit-sikit tengking, malah membawa ke pukulan fizikal berkali-kali, hanya akan merosakkan perkembangan emosinya.

Saya tak dapat bayang macam mana kecederaan emosi sesetengah golongan dewasa sekarang, yang tak dapat ‘closure’ atas peristiwa ‘unpleasant’ yang mereka alami sejak kecil dulu.

Kalau tanya saya pasal buku “Mendewasa Dengan Luka” itu, saya tak yakin untuk tulis kandungan begitu 5-6 tahun yang lalu. Sebab ia akan jadi kering saja dengan fakta-fakta psikologi dan kesihatan mental.

Tetapi sebab saya karang itu sewaktu sedang aktif berjumpa pesakit di unit psikiatri setiap hari, tambah pula menjalani kehidupan sebagai seorang ayah,

Itu buatkan kandungan dan mesej saya cuba sampaikan dalam buku itu, jadi lebih ‘hidup’ dan bermakna (harapnya).

Terima kasih Adam dan Iman, sebab menjadi inspirasi dan sumber kekuatan saya untuk terus usaha menjadi yang terbaik, dan terus meraikan perkembangan emosi mereka sebagai manusia yang ada harga.

Sebab itu, saya letakkan mereka berdua sebagai nama terawal dalam senarai penghargaan buku ini, pada muka surat awal.

BACA :Cleaner airport terjumpa cek bernilai lebih RM10 juta, sekali lain pula yang jadi