Lebih kurang 30 orang murid di sebuah sekolah di wilayah Chonburi, Thailand berdepan detik cemas apabila mereka terjatuh ke dalam air setelah lantai kayu bilik darjah yang diduduki mereka tiba-tiba runtuh.
Memetik laporan Metro UK, kejadian berlaku ketika murid-murid kelas tersebut sedang mengambil bahagian untuk menjawab kuiz Bahasa Inggeris.
Ia dipercayai berlaku apabila murid-murid itu berpusu-pusu mahu ke bahagian depan bilik darjah untuk menjawab soalan guru mereka.
Difahamkan, bangunan bilik darjah itu sememangnya telah lama dan kejadian tersebut telah menyebabkan beberapa orang pelajar cedera ringan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan.
Ia menyebabkan murid-murid itu jatuh ke dalam air kotor yang terkumpul di bawah bangunan bilik darjah itu.
Menurut guru besar sekolah itu, beliau sebelum ini telah mengarahkan fasiliti sekolah itu dibaiki kerana sekolah itu telah berusia 47 tahun, jadi memang ada bahagian sekolah yang usang.
Namun, pada ketika itu, bilik darjah tersebut tidak dibaiki kerana keadaannya yang masih baik.
Pihak sekolah juga telah memohon maaf kepada ibu bapa murid-murid yang terkesan dengan kejadian tersebut.
Bangunan bilik darjah itu juga kini ditutup untuk kerja-kerja pembaikan agar siap dengan kadar segera.