Pelawak dan usahawan, Shuib, enggan memberikan sebarang komen pada masa ini berkenaan dengan dakwaan bahawa syarikatnya,
Bubble Bee, telah mengelak daripada membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerjanya.
Membincangkan perkara ini dengan pihak pengurusan
Apabila dihubungi, Shuib, atau yang sebenarnya dikenali sebagai Shahmira Muhammad, menyatakan bahawa dia akan memulakan perbincangan dengan pihak pengurusan syarikat sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan dakwaan tersebut.
“Saya tak nak komen apa-apa cuma buat masa sekarang saya dan pihak pengurusan Bubble Bee masih lagi dalam perbincangan mengenai dakwaan ini.”
“Dan bagi menjawab soalan ini, apa yang saya boleh katakan ialah kami tidak boleh menidakkan benda yang betul dan kami juga tak boleh menidakkan benda yang salah.”
“Insyaa-Allah bila saya dan pihak pengurusan dah bersedia untuk berikan jawapan dan keterangan, saya akan bagi.”
Sebelum ini, satu hantaran di TikTok telah menjadi viral, di mana individu tersebut mendakwa bahawa syarikat Bubble Bee yang diasaskan oleh pelawak berusia 39 tahun itu telah mengelak daripada membayar caruman KWSP kepada pekerjanya sejak permulaan tahun 2023.
Selain itu, individu tersebut juga mendakwa bahawa pembayaran gaji dan elaun kerja lebih masa pekerja Bubble Bee telah mengalami kelewatan.