Sokongan kerajaan Malaysia terhadap perjuangan Palestin tidak dipertikaikan malah tidak boleh dipertikai.
Sama ada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, Hussein Onn, Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak, Muhyiddin Yassin, juga Ismail Sabri Yaakob. Tentunya Anwar Ibrahim sekarang.
Majoriti rakyat orang Melayu beragama Islam dan rata-ratanya bersimpati dengan rakyat Palestin, menyokong perjuangan mereka, dan benci Israel (maaf saya nyatakan juga meski anda dah tahu).
Ingat Leila Khalid? Pejuang Palestin yang terkenal dengan rampasan pesawat pada 1969 dan 1970. Media Barat menggelarnya “the poster girl of Palestinian militancy”. Leila anggota Popular Front for the Liberation of Palestine atau PFLP. Kemudian ada PLO atau Palestine Liberation Organisation.
Wujud juga Hamas. Semua dianggap kumpulan pengganas oleh kebanyakan negara Barat. PLO sekarang yang dipengerusikan Mahmoud Abbas tidak lagi dilabel demikian maka tumpuan dihala ke arah Hamas.
Saya katakan jika ada pemimpin negara kita yang tidak sehaluan dengan pendirian majoriti rakyat, bolehlah dianggap melakukan political suicide. Lantas tanpa meragui keikhlasan pemimpin dulu mahu pun sekarang, juga pembangkang dulu atau sekarang, saya katakan menyokong the Palestinian course sesuatu yang politically correct selain berdasarkan sifat kemanusiaan dan keadilan.
Pihak luar kerajaan (baca: pembangkang) yang dulu dan yang sekarang juga mahu atau setidak-tidaknya dilihat senada dengan aspirasi majoriti rakyat untuk bukan sahaja memastikan relevancy tetapi juga tidak melakukan political suicide. Ini yang terbentang di depan kita dewasa ini.
Semasa Anwar berucap pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Kuala Lumpur 24 Okt lalu, beliau antara lain mendedahkan ada terima banyak ugutan daripada negara luar susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin yang sedang berdepan keganasan Israel di Gaza.
Jujur dikatakan apabila mendengar hujah Anwar sedemikian menerusi siaran langsung televisyen, bertanya saya kepada diri sendiri patutkah Anwar berkata itu semua? Adakah beliau terbawa-bawa dengan semangat pro-Palestin dan anti-Israel yang bergelora?
Beberapa rakan yang menghadiri himpunan itu kemudian memberitahu saya ucapan Anwar diterima baik hadirin. Tentunya ini bukan sesuatu yang ‘elok’ untuk pembangkang. Dua hari kemudian tidak memeranjatkan apabila Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memperlecehkan kenyataan Anwar dengan menyifatkan ia “pelik malah melucukan”. Golongan anti-Anwar seirama memperleceh PMX melalui TikTtok dan sebagainya.
Semalam Anwar beritahu Dewan Rakyat bahawa duta Malaysia di Washington dipanggil Jabatan Negara Amerika Syarikat berhubung konflik Palestin terutama keganasan Israel di Gaza, dan Anwar juga mendedahkan Malaysia menerima tiga notis tata tindak yang dipanggil “demarche” kerana keengganan Malaysia menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Bagi saya ini dilihat sebagai Anwar mahu membuktikan apa yang beliau kata pada Himpunan Malaysia tempoh hari ini, yang diperleceh pembangkang. Bagi Anwar duta Malaysia dipanggil menghadap dan diberi demarche adalah ‘tekanan’ AS ke atas negara.
Muncul Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Bersatu. Kata beliau demarche daripada AS bukan bermaksud ugutan. “PM menggunakan istilah bahasa Perancis yang merujuk kepada pendirian diplomatik rasmi yang diminta mana-mana negara asing berkenaan sesuatu isu.”
Bukan aneh beliau berkata demikian malah dijangka kerana bagi saya Wan Fayhsal terpanggil atau terpaksa untuk ‘memperkecilkan’ soal demarche daripada AS, susulan kenyataan Takiyuddin tempoh hari. Demi setiakawan Perikatan Nasional dan tidak membenarkan Anwar ‘menang’ dalam isu ini.
Menurut seorang kawan demarche memang bukan ugutan. Ia katanya “ialah representasi diplomatik rasmi mengenai kedudukan, pandangan atau kehendak rasmi satu kerajaan mengenai subjek tertentu kepada pegawai yang sesuai dalam kerajaan lain atau organisasi antarabangsa. Ia biasanya bertujuan memujuk, memaklumkan atau mengumpul maklumat daripada kerajaan asing.”
Kata seorang lagi kawan pula tafsiran begitu juga satu bentuk downplaying makna demarche.
Saya tak tahu bahasa Perancis. Lalu saya dapatkan bantuan Google untuk takrif demarche. Untuk mengelakkan salah tafsir, saya tidak menterjemah dapatan dalam bahasa Inggeris:
A political step or initiative. 1) A move, step or manoeuvre especially in diplomatic affairs. 2) a representation or statement of views, complaints etc to a public authority.
Satu lagi carian menjawab pertanyaan apa makna demarche dalam diplomasi:
The US government defines demarche as a request for support of a policy or a protest about the host government’s policy or actions.
Terpulang bagaimana masing-masing mahu memahami makna “request for support” dan “protest”. Bolehkah itu dilihat sebagai AS meminta dan memujuk? Atau memaksa? Atau mengugut?
Baca secara tersurat atau tersirat, terserah.
BACA: Rupanya macam ini lori sampah kosongkan muatan, puas hati bila tahu caranya