Jujur sahaja, pasti ramai antara anda yang kadangkala terjebak menonton video-video rawak di Youtube
Termasuk proses memicit jerawat, membuang blackhead mahupun pembedahan mengeluarkan ribuan cacing daripada perut.
Video-video sedemikian sering mendapat jutaan tontonan hasil sifat ingin tahu para penonton yang berasa ‘teruja’ melihat bahagian tersebut dkeluarkan.
Menurut Pakar Dermatologi, Dr Sandra Lee atau lebih dikenali sebagai Dr Pimple Popper, menonton video sedemikian ibarat menonton filem seram atau menaiki roller coaster bagi sebahagian individu.
“Saya rasa melihat video memicit jerawat serupa dengan menonton filem seram atau menaiki roller coaster. Anda mendapat rasa sangat gembira dan teruja,” katanya seperti ditulis Live Science.
Kenyataan itu disokong oleh Dan Kelly, seorang profesor madya bidang falsafah di Purdue University merangkap pengarang buku, “Yuck!: The Nature and Moral Significance of Disgust” (A Bradford Book, 2013).
Bezanya, ketika menaiki roller coaster berkait dengan ketakutan, video memicit jerawat memberi ruang selamat buat para penonton untuk melibatkan emosi jijik manusia.
Jelasnya, rasa jijik wujud untuk melindungi seseorang, tambah portal yang sama.
“Terdapat dua tujuan utama rasa jijik, satu untuk melindungi kita daripada memakan perkara yang akan meracuni kita. Apa-apa yang akan mengganggu sistem usus dan perut mungkin akan membuatkan anda jijik.”
Tujuan kedua adalah untuk melindungi kita daripada jatuh sakit, ujarnya.
“Anda boleh menganggapnya sebagai sebahagian daripada sistem imun tingkah laku,” katanya seperti dipetik Live Science.
“Jika anda melihat seseorang bersin dan hingus meleleh, ia adalah jijik. Salah satu alasan kenapa ia menjijikkan ialah terdapat petanda individu itu tidak sihat dan anda tidak mahu berjangkit dengannya. Jadi, anda ingin menjauhi mereka,” jelas Kelly.
Tambahnya, lelehan badan merupakan salah satu medium penyebaran penyakit, membuatkan orang lebih berhati-hati dengan bahan tersebut. Justeru, video-video menyingkirkan jerawat dan nanah dari badan mendapat perhatian orang ramai secara semulajadi sebagai langkah berjaga-jaga.
Oleh itu, mereka berkongsi pula video-video tersebut kepada orang ramai di dalam komuniti sebagai langkah untuk mengekspresikan perasaan jijik berkenaan, sekaligus memaklumkan ahli komuniti terhadap kemungkinan bahaya yang wujud, ujarnya.