“Perompak di siang hari!”, NGO kutip derma Palestin kaut ‘untung’ hingga RM34 juta?

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Umum mengetahui, rakyat Malaysia sanggup menghulurkan jutaan wang ringgit kepada badan bukan kerajaan (NGO) demi membantu penduduk Palestin.

Dengan harapan, hasil titik peluh mereka dapat disalurkan untuk meringankan perderitaan yang dialami oleh penduduk Semenanjung Gaza akibat kekejaman Israel itu.

Namun begitu, masyarakat sudah mempunyai kesedaran mengenai taktik kotor sesetengah badan ini yang mengambil kesempatan di sebalik pengutipan derma.

“Perompak di siang hari!”, NGO kutip derma Palestin kaut ‘untung’ hingga RM34 juta?

Lebih-lebih lagi apabila Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan mereka mengambil sehingga 30 peratus daripada dana sumbangan awam itu sebagai caj pengurusan.

Baru-baru ini, tular dakwaan di media sosial Facebook mengenai penyelewengan dana sumbangan melibatkan sebuah NGO berkaitan Palestin yang popular di Malaysia.

Tidak hanya menggunakan wang RM34 juta iaitu 30 peratus daripada duit penderma sebagai kos pengurusan, perbelanjaan yang dikeluarkan NGO itu turut dipersoalkan.

Mana tidaknya, menerusi laporan audit, NGO itu telah mengeluarkan wang lebih RM2 juta hanya untuk perbelanjaan kenderaan selain kegunaan ubah suai bernilai lebih RM 1 juta.

Kebimbangan itu turut diutarakan Perunding Syariah dalam Kewangan Islam, Abdel Rahmanov yang mempersoalkan ketulusan NGO itu dalam menjalankan amanah.

Menyifatkannya seperti perompak pada siang hari, NGO seharusnya lebih terperinci dalam membelanjakan wang derma selain tidak mengambil sebarang keuntungan.

“Ini merujuk kepada konsep Wakalah. Wakil perlu bertindak mengikut arahan Muwakkil. Wakil perlu jelas menyatakan bayaran kepada wakil atau wakalah tanpa upah.

“Jika NGO ingin mengambil peratusan daripada wang derma untuk kegunaan kos pengurusan, maka perlu dimaklumkan kepada penderma terlebih dahulu.

“NGO perlu menyatakan dengan jelas bahawa peratusan tertentu akan digunakan untuk kos tertentu. Barulah bertepatan dengan konsep Wakalah,” katanya menerusi satu catatan di Facebook.

Mengkhianati amanah penderma jika tidak melakukannya, Abdel mengingatkan agar NGO mengeluarkan belanja dalam kadar berpatutan sahaja, bukan bersifat keuntungan.

“Duit derma bukan untuk menampung kos pengiklanan di media massa, media sosial atau memasang billboard di lebuh raya. Wang itu adalah amanah yang akan ditanya akhirat nanti!.” Tegasnya.

Baca juga: Patutlah cari tak jumpa-jumpa, rupanya ada destinasi yang tak boleh ditambah dalam google maps