Seorang nenek berdepan dengan detik cemas apabila menemui jasad cucunya yang sudah tidak lagi bernyawa di dalam mesin basuh.
Mengejutkan, kejadian menyayat hati itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Sungai Tapah Tambahan yang terletak di Ipoh, Perak pada pagi semalam (Isnin).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata,
laporan mengenai kematian kanak-kanak berusia enam tahun itu diterima pada jam 11.44 pagi.
Laporan dibuat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas kanak-kanak lelaki itu dibawa dari rumahnya di Kampung Sungai Tapah Tambahan, Manjoi.
Menurut Yahaya, pihaknya menerusi siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit ada bersama dengan ahli keluarganya yang lain di dalam rumah berkenaan.
Kanak-kanak malang tersebut kemudian ditemukan berada di dalam mesin basuh rumahnya oleh neneknya sendiri kira-kira pada pukul 9.30 pagi, lapor Berita Harian.
“Mangsa dijumpai oleh neneknya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam mesin basuh pakaian. Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh ambulans.
“Namun (mangsa) disahkan meninggal dunia jam 11.02 pagi ini (Isnin),” kata Yahaya Hassan memetik laporan Berita Harian.
Yahaya memaklumkan bahawa satu bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik HRPB pada hari ini bagi mengenal pasti punca kematian kanak-kanak malang itu.
Hasilnya, bedah siasat oleh pakar di jabatan berkenaan mendapati punca kematian kanak-kanak lelaki itu adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul.
Oleh yang demikian, siasatan lanjut bakal dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).
Baca juga: Patutlah cari tak jumpa-jumpa, rupanya ada destinasi yang tak boleh ditambah dalam google maps