Warga emas kecewa penceraian tak diluluskan mahkamah, Tinggal berasingan sejak 1997

Oleh DAHLIA MARZUKI

Walaupun sudah lama berkahwin namun pasangan di India ini sudah duduk berasingan sejak 1997 akibat pekerjaan.

Mahkamah Agung India menolak permohonan seorang lelaki yang juga bekas pegawai Tentera Udara India untuk menceraikan isterinya.

Menurut The Indian Express, pasangan tersebut masing-masing berusia 89 tahun dan 82 tahun.

Warga emas kecewa penceraian tak diluluskan mahkamah, Tinggal berasingan sejak 1997

Dalam keputusan terbaru, Mahkamah Agung memberitahu lelaki itu dan pasangannya bahawa perkahwinan masih dianggap sebagai sesuatu yang suci.

Perkahwinan itu melibatkan rohani dan emosi yang tidak ternilai antara suami dan isteri dalam masyarakat India.

Segala masalah bermula apabila pegawai itu dipindahkan dari Amritsar ke Madras pada Januari 1984 namun isteri yang bekerja sebagai guru enggan mengikutnya.

Wanita itu lebih memilih untuk tinggal bersama mertuanya dan kemudian bersama anaknya.

Apabila percubaan untuk mencapai penyelesaian secara baik gagal, si suami memfailkan permohonan cerai atas alasan kekejaman dan hidup terpisah.

Lelaki itu turut memaklumkan bahawa si isteri tidak pernah menghubunginya apabila dia dimasukkan ke hospital tentera kerana serangan jantung.

Wanita itu bagaimanapun didakwa mengadu kepada pihak atasan tentang dirinya sekali gus memburukkan imejnya yang dianggap sebagai satu bentuk kezaliman.

Bekas pegawai tentera itu berkata, mereka telah tinggal berasingan sejak Mac 1997 apabila dia memfailkan petisyen cerai di sebuah mahkamah daerah.

Disebabkan faktor usia, isterinya berkata bahawa sebagai seorang wanita tua, dia tidak mahu meninggal dunia ketika berada dalam keadaan perceraian.

Pasangan itu berkahwin pada Mac 1963 dan mempunyai dua anak perempuan serta seorang anak lelaki.

Baca juga:“Saat pintu dibuka, sepupu aku tiba-tiba menjerit, depan mata kepala aku lihat suami dan anak penerima bantuan tengah berselimut di ruang tamu”